MAS lebih mundur dari 50 tahun lalu
RAZIATUL HANUM A.RAJAK
21 APRIL 2016
Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airline Berhad (MAB) yang dulu dikenali sebagai Malaysia Airlines (MAS) dilihat lebih mundur daripada awal-awal ianya dibangunkan sekitar tahun 1972.
Bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, bukan berniat untuk menyibuk dengan urusan syarikat penerabngan nasional itu namun beliau tidak mampu menutup mata melihat usahanya suatu ketika dahulu terkubur.
"Masa saya jadi CEO MAS pada tahun 80-an, seorang pun tak ada warga asing dari peringkat atas hingga ke bawah pengurusan pun. Maknanya dari tahun 80-an hingga hari ini, kita makin mundur sehari demi sehari. Ini yang saya pertikaikan.
"Saya perlu sebut ini semua sebab mungkin kerajaan dan orang ramai pun tak tahu semua ini. Memang sudah lama saya tinggalkan MAS... lebih 20 tahun tetapi tiap kali orang jumpa saya, orang asyik tanya tentang MAS, masa depan MAS. Jadi, saya ambil tanggungjawab untuk sentuh perkara ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Pengarah Urusan: MAS tak perlukan pakar dari luar]
Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan pengurusan MAS sebelum ini yang membawa masuk warga asing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller kononnya demi menyelamatkan syarikat penerbangan kebangsaan itu.
Menurut Abdul Aziz, beliau tidak menafikan kepakaran Muller namun beliau berpendapat Muller tidak mempunyai roh sebagai rakyat Malaysia.
Terbaharu, selepas berkhidmat lebih setahun, Muller bertindak menghantar notis peletakan jawatannya yang berkuatkuasa September ini meskipun tempoh kontraknya masih berbaki lebih setahun.
Pada tahun 1972, sebagai peguam, Abdul Aziz bertanggungjawab menyelesaikan urusan 'perceraian' Malaysia Singapore Airlines (MSA) yang dimiliki Malaysia dan Singapura selepas bekerjasama selama enam tahun dan dipilih sebagai peneraju MAS yang dinamakan Malaysian Airlines System Berhad ketika itu.
MAS memulakan penerbangan pertama 1 Oktober tahun tersebut.
Menurut Abdul Aziz, dulu rakyat negara ini boleh berbangga dengan wujudnya MAS namun sekarang tidak lagi apabila ia tidak lagi dilihat sebagai syarikat penerbangan kebangsaan.
"Setiap negara hendaklah ada syarikat penerbangan sendiri iaitu syarikat penerbangan kebangsaan. Mana-mana negara pun tak kira kecil atau besar... Singapura, Thailand, Kemboja pun ada. Sebab itu kita tubuh Malaysian Airlines System sebagai syarikat penerbangan kebangsaan. Masa itu ia dimiliki kerajaan.
"Kita lindungi MAS itu dengan 'golden protection' di mana syarikat ini tetap menjadi milik kerajaan supaya warganegara kita boleh berbangga, dikenali seluruh dunia sebagai satu negara bermaruah yang memiliki syarikat penerbangan sendiri dan boleh pergi ke merata dunia.
"Tapi apa yang ada sekarang ini tidak boleh lagi digelar sebagai syarikat penerbangan kebangsaan kerana ia kecil dan tidak pergi laluan-laluan yang kita pernah ada. Ke London hanya ada satu penerbangan. 50 tahun dulu kita ada dua penerbangan sehari. Laluan lain semua batal seperti ke Amsterdam, Paris, Dubai dan banyak lagi," katanya. Beliau turut membayangkan situasi sukar menanti MAB untuk kembali bangkit seperti dulu kerana dunia hari ini yang mengamalkan langit terbuka.
"Pada saya, syarikat yang ini (MAB) bukan syarikat penerbangan kebangsaan lagi kerana ia tidak menjalankan tugasnya dengan mengikut kehendak. Pada masa akan datang, boleh jadi (sebagai syarikat penerbangan kebangsaan) tapi lama lah.
"Sebab apa lama? Sebab persaingan semakin hebat. Banyak syarikat penerbangan lain timbul. Suasana perniagaan penerbangan sudah bertukar, sekarang dipanggil langit terbuka di banyak negara. Tidak seperti dahulu. Jika kita mahu kena berunding.
"Jadi kalau kita sebuah syarikat kecil seperti hari ini, mampukah kita bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang sudah berkembang di merata dunia? Singapore Airlines misalnya. Boleh kita lawan? Garuda Indonesia, Thai International pun sudah menjadi besar," katanya.
Beliau sempat berpesan, "jangan kita terlewat untuk menjadi satu syarikat besar dalam suasana langit terbuka. Apa persediaan dia (MAB) untuk berdepan dunia langit terbuka? Tanyalah dia (MAB)?"
Mengimbau kenangan lalu, Abdul Aziz berkata, saat beliau meninggalkan MAS sekitar tahun 1992, kepakaran dalam bidang kejuruteraan MAS terkenal di seluruh dunia hingga syarikat-syarikat penerbangan lain menghantar kapal terbangnya untung dibaiki di sini.
"Singapore Airlines pun ada hantar jika tempatnya tidak cukup untuk baiki. British Airways, American Carrier, Canada, Australia pun hantar masa itu. Apa telah jadi sekarang? Sekarang ditutup.
"Begitu juga perkhidmatan kargo yang dulu kita dikenali sebagai pusat kargo tapi perkhidmatan itu dihentikan. Tapi sya dimaklumkan ia akan dimulakan semula," katanya.
文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat98/node1036266轉載請註明來源:今天頭條