Adenan letak jawatan jika UMNO masuk Sarawak

Hastomo ...| 2016-04-21| 檢舉

Adenan letak jawatan jika UMNO masuk Sarawak

April 21, 2016, Thursday

MENGHIBURKAN: Adenan (lima kanan) menyanyikan tiga lagu bernilai RM1 juta, disumbang Shin Yang sempena majlis perjumpaan beliau bersama warga kerja syarikat tersebut. Turut kelihatan ialah Ling (empat kanan).

MIRI: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata beliau akan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri dan pengerusi BN jika UMNO masuk Sarawak.

Kenyataan itu menegaskan betapa beliau menentang sebarang usaha membawa UMNO, parti pemangkin dan terbesar dalam komponen BN itu ke Sarawak.

Katanya jika UMNO datang membantu BN Sarawak berkempen beliau mengalu-alukannya.

「Tolong berkempen boleh, tetapi (datang) untuk bertapak (di Sarawak), saya katakan tidak! Jika mereka masuk, saya akan meletak jawatan,」 tegas beliau.

Adenan berkata Sarawak tidak perlukan UMNO kerana kepimpinan negeri ini kuat sebaliknya UMNO masuk ke Sabah disebabkan kepimpinannya lemah.

Malah beliau menegaskan sudah memberitahu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Sarawak tidak mahu UMNO masuk ke negeri ini.

Beliau menegaskan sekali lagi mengenai perkara itu semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Warga Kerja Kumpulan Syarikat Shin Yang di sini, petang semalam.

Majlis tersebut diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini yang dihadiri 6,000 warga kerja syarikat berkenaan termasuk ahli lembaga pengarahnya.

Turut hadir kelima-lima bakal calon BN di kawasan Parlimen Miri dan Sibuti iaitu Datuk Sebastian Ting (Piasau), Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Datuk Hii King Chiong (Pujut), Rosey Yunus (Bekenu) dan Ripin Lamat (Lambir) serta Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shin Yang Tan Sri Ling Chiong Ho dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Shin Yang James Ling.

Pada majlis sama, Adenan memuji serta kagum dengan kemurahan hati syarikat berkenaan dalam kerja amal, apabila kumpulan syarikat itu sekali lagi menyumbang RM1 juta untuk tiga lagu yang dinyanyikan oleh beliau iaitu sebuah lagu Melayu dan dua lagu Inggeris kegemarannya 『The Young One』 serta 『Can』t Help Falling In Love With You』.

Sumbangan RM1 juta itu disalurkan untuk Pusat Dialisis Buah Pinggang Miri yang diasaskan oleh Lee dan Persatuan Bulan Sabit Merah pada 1995.

Sumbangan itu akan digunakan untuk menampung dana bagi kos memperbesar bangunan pusat dialisis tersebut yang terletak di Kompleks Bulan Sabit Merah Cabang Miri di sini.

Adenan turut mengingatkan warga kerja kumpulan syarikat berkenaan supaya terus memberi sokongan kepada BN dan mengundi BN, bagi memastikan ia kembali memerintah negeri ini dengan menyediakan kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

Katanya jika mereka memilih pembangkang seperti DAP yang mempunyai polisi memecahkan dominasi syarikat besar, ia boleh menjejaskan lebih 6,000 pekerja syarikat itu dan memberi kesan kepada pekerjaan serta punca pendapatan mereka untuk menyara keluarga.

文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat98/node1034483

轉載請註明來源:今天頭條