DAP umum senarai lengkap calon selatan Sarawak
Aedi Asri
| April 19, 2016
Mordi Bimol bersaing untuk Tasik Biru, Christina Chew bertahan di Batu Kawah manakala wajah Bumiputera DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa ke Stakan.
KUCHING: DAP hari ini mengumumkan senarai lengkap 10 calonnya bagi kawasan selatan Sarawak yang bakal bertanding dalam PRN kali ini.
10 calon tersebut adalah Chong sendiri di Kota Sentosa; Mordi Bimol (Tasik Biru); Wong King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Christina Chew Wang See (Batu Kawah), Abdul Aziz Isa (Stakan), Sanjan Daik (Mambong), Andrew Edward Luak (Bukit Semuja), Andrew Nyaie (Kedup) dan Leon Jimat (Simanggang).
Senarai ini menyaksikan empat penyandang (Kota Sentosa, Padungan, Pending, Batu Kawah), tiga muka baru (Kedup, Mambong, Stakan) dan tiga calon yang sudah pernah bertanding sebelum ini (Tasik Biru, Simanggang, Bukit Semuja).
Bukit Semuja merupakan satu daripada sebelas kerusi DUN baru selepas persempadanan semula SPR tahun lalu.
Mereka diperkenalkan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen di hadapan kira-kira 100 penyokong mereka yang rata-rata memakai baju merah.
Turut hadir Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan pengasas DAP Sarawak Chong Siew Chiang yang juga bapa kepada Chong Chieng Jien.
Lim sebelum itu melawat Meradong, Padungan, Serian dan Bau bagi meninjau persiapan akhir parti itu sebelum kempen pilihan raya bermula secara rasmi 25 April depan.
Sebelum ini, Chong mengatakan DAP mahu bertanding di 29 DUN; 14 kawasan majoriti Cina, 14 kawasan majoriti Dayak dan satu kawasan majoriti Melayu.
轉載請註明來源:今天頭條