Suspek punca kebakaran dua kereta ditahan
April 18, 2016, Monday
KHIANAT: Bomba memadamkan kebakaran Myvi di Taman Suria Jaya, Matang.
KUCHING: Polis menangkap seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian kebakaran dua buah kereta di hadapan rumah pangsa di Taman Suria Jaya di Matang di sini, semalam.
Menurut sumber polis, lelaki itu ditangkap oleh Unit Kereta Peronda (MPV) Padawan bersama pegawai daripada Balai Polis Batu Kawa susulan laporan polis dibuat oleh isteri suspek.
「Suspek berusia 49 tahun ditangkap untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat Dengan Api),」 katanya.
Insiden pagi semalam menyaksikan sebuah Perodua Kelisa musnah 100 peratus manakala Perodua Myvi terbakar 30 peratus, kedua-duanya milik pasangan suami isteri tersebut.
TERBAKAR: Kebakaran Saga BLM di Kenyalang Park, awal pagi semalam.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dengan keanggotaan tujuh orang tiba di lokasi jam 11.29 pagi selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.52 pagi semalam.
Operasi ditamatkan selepas kebakaran dapat dikawal sepenuhnya. Tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, sebuah Proton Saga BLM yang diletakkan di hadapan sebuah rumah hampir musnah 100 peratus dalam kebakaran awal pagi di Kenyalang Park di sini, semalam.
Menurut maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat, BBP Padungan dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan jam 3.33 pagi, sebelum tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.
「Setibanya di lokasi, sebuah kereta Proton Saga BLM didapati telah terbakar 90 peratus dan anggota bomba bertindak memadamkan kebakaran tersebut hingga api padam sepenuhnya,」 katanya.
Kebakaran dipercayai bermula di bahagian enjin kereta yang diletak di hadapan rumah itu bagaimanapun tidak melibatkan struktur rumah dan operasi ditamatkan sekitar jam 4.20 pagi.
Punca kebakaran masih disiasat.
轉載請註明來源:今天頭條