Maut dirempuh kereta selepas langgar anjing
April 15, 2016, Friday
TRAGIS: Anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melihat keadaan mayat mangsa sebelum dihantar ke HUS untuk bedah siasat.
KOTA SAMARAHAN: Seorang penunggang motosikal terbunuh gara-gara melanggar seekor anjing dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuching-Samarahan Expressway di sini, malam kelmarin.
Mangsa ialah Muslim Hafiz Sebeli berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Moyan Laut, Asajaya.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di pusat bandar raya Kuching, namun gagal mengelak daripada melanggar anjing dalam kejadian kira-kira jam 11 malam.
「Ekoran pelanggaran tersebut mangsa terjatuh dari atas motosikalnya dan keadaannya bertambah parah apabila dia dikatakan dilanggar sebuah kereta juga dari arah yang sama.
「Mangsa tercampak hampir 50 meter dari tempat kejadian, manakala kereta yang melanggar mangsa hanya berhenti kira-kira 70 meter kemudian,」 kata sumber.
Orang awam yang melalui kawasan tersebut segera menghubungi pihak hospital untuk bantuan kecemasan.
「Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang tiba di lokasi kejadian,」 kata sumber.
Selain itu, beberapa pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk upacara pengebumian.
Susulan insiden tersebut, polis telah menahan seorang lelaki iaitu pemandu kereta yang melanggar mangsa untuk membantu siasatan.
Sumber turut memberitahu mangsa yang baharu berkahwin meninggalkan seorang isteri yang kini sedang hamil.
文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat98/node1023392
轉載請註明來源:今天頭條