Pengguna akan tanggung kesan kenaikan yuran penerbangan

Hastomo ...| 2016-04-13| 檢舉

Pengguna akan tanggung kesan kenaikan yuran penerbangan

Blake Chen

| April 13, 2016

Syarikat penerbangan tidak akan menyerap kadar baharu, akhirnya pengguna terpaksa membayar lebih.

PETALING JAYA: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) digesa menghentikan usaha menaikkan yuran penerbangan dan caj perkhidmatan syarikat-syarikat penerbangan, kata persatuan pengguna.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan cadangan kenaikan yuran penerbangaan dan caj perkhidmatan akan dilaksanakan Jumaat, 15 April.

Bagaimanapun, katanya lagi, tambang penerbangan tidak patut dinaikkan apabila yuran baharu itu dilaksanakan.

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM), Ajit Johl menyangkal kenyataan menteri dan berkata syarikat penerbangan tidak akan menyerap caj baharu itu dan akhirnya pengguna terpaksa menanggung kesan kenaikan kos.

「Kita bersetuju yuran perlu dikaji semula, tetapi sewajarnya dilakukan secara rundingan dengan semua pihak berkepentingan, termasuklah pengguna yang merupakan pihak berkepentingan terbesar. Menteri Pengangkutan menjelaskan DCA menaikkan tarif supaya selaras dengan persyaratan antarabangsa, manakala DCA pula memberi alasan tarif tidak dinaikkan sejak 30 tahun lalu.

「Beberapa syarikat penerbangan kos rendah yang terbaik beroperasi di negara kita, dan membawa masuk jutaan pelancong. Kita berharap DCA menghentikan kenaikan yuran itu kerana akhirnya pengguna terpaksa membayar lebih,」 katanya kepada FMT.

Ajit menegaskan DCA sepatutnya menumpukan usaha menyiasat bagaimana Rayani Air pertama-tamanya mendapat lesen operasi.

「Kita menuntut pendedahan sepenuhnya daripada DCA, kerana perkara ini melibatkan nyawa. Sekiranya Rayani masih berterbangan, bukankah keselamatan penumpang dikompromi? Dimana pemeriksaan keselamatan dan audit?」 soalnya.

Rayani Air, dihimpit masalah kewangan yang membawa kepada masalah operasi, digantung selama tiga bulan oleh DCA pada Isnin.

Sementara itu, Alex Lee – pengusaha pelancongan daripada Ping Anchorage Travel & Tours berkata kenaikan tambang penerbangan boleh memberi manfaat pada industri pelancongan tempatan kerana ia akan mendorong rakyat melancong dalam negara.

「Kesannya pada pelancong asing mungkin tidaklah teruk kerana matawang mereka. Sebenarnya, ia bergantung kepada bagaimana syarikat penerbangan menyesuaikan harga.」

「Orang-ramai akan mula melancong dalam negara. Malah di MATTA Fair baru-baru ini kita dapat lihat rakyat lebih banyak melancong dalam negara,」 katanya.

文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat98/node1020294

轉載請註明來源:今天頭條