Penyamun lari tunjuk penumbuk
Nabihah Kamal
Kajang: Seorang daripada dua penyamun yang gagal memecah masuk rumah sempat menunjukkan penumbuk kepada pemilik rumah sebelum melarikan diri dalam kejadian pecah rumah di Sungai Merab, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian 12.35 tengah hari, pemilik rumah yang juga kakitangan Harian Metro, Saiful Hisham Md Salleh, 33, dikejutkan dengan bunyi ketukan di bahagian bilik anak perempuannya sebelum bergegas memeriksa.
Saiful Hisham berkata, dia memeriksa bilik anak perempuannya sebelum ternampak dua lelaki cuba memecahkan jeriji tingkap bilik.
"Saya menjerit ke arah dua penyamun itu dan cuba menangkap mereka. Bagaimanapun, mereka memanjat tembok dan terus melarikan diri menaiki kereta jenis Persona.
"Seorang daripada lelaki itu sempat menunjukkan penumbuk kepada saya sebelum beredar, " katanya.
Menurutnya, dia membuat laporan di Balai Polis Dato' Abu Bakar Baginda untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, pada 10.30 pagi tadi, dua lelaki yang menaiki kereta itu memecah masuk sebuah rumah berhampiran kawasan berkenaan.
"Dua suspek itu dipercayai memecah masuk rumah di kawasan berkenaan sebelum cuba memecah masuk sebuah lagi rumah dengan mengumpil tingkap.
"Polis sudah mengenal pasti identiti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya ketika dihubungi.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 9:14 PM
Saiful Hisham menunjukkan jeriji tingkap bilik anaknya yang diumpil dua penyamun. FOTO Nabihah Kamal
轉載請註明來源:今天頭條