Pemimpin UMNO sepatutnya dihalang masuk Sarawak
Mohamad Fadli
| April 11, 2016
Adenan Satem sepatutnya menghalang pemimpin tertinggi UMNO kerana dikaitkan dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa.
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengutuk keras tindakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menghalang pemimpin Pakatan Harapan (PH) memasuki Sarawak.
Beliau berkata, sepatutnya Adenan menghalang pemimpin tertinggi UMNO daripada memasuki Sarawak kerana terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa.
Sebaliknya, Adenan tidak berlaku adil apabila menghalang pimpinan Pakatan Harapan yang tidak mempunyai rekod jenayah atau terlibat dengan skandal wang.
「Dalam demokrasi yang sihat, pertandingan politik yang adil dan sama rata mewajibkan parti-parti politik dari pihak pemerintah dan pembangkang diberi peluang yang sama untuk bertemu pengundi dan menjalankan aktiviti politik yang sah mengikut undang-undang.
「Selagi tiada undang-undang yang dilanggar, kekangan dan halangan tidak patut dikenakan. Akan tetapi apa yang berlaku sekarang jelas menunjukkan parti-parti pembangkang diberi layanan yang cukup berbeza berbanding UMNO/Barisan Nasional (BN),」 katanya dalam satu kenyataan dibuat hari ini.
Beliau membuat kenyataan itu susulan tindakan terbaru Adenan menghalang dua pemimpin PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin daripada memasuki Sarawak.
Sehubungan itu, Wan Azizah menggesa Adenan supaya bersikap adil dan terbuka dengan tidak menghalang ahli-ahli politik khususnya dari pembangkang dari memasuki Sarawak.
「Saya harap Adenan mampu membenarkan kami masuk untuk melakukan kerja-kerja politik yang dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan. Marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik buat masa depan rakyat Sarawak,」 katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menuntut penjelasan daripada Adenan berikutan penahanannya dari memasuki Sarawak.
Zuraida juga menyifatkan tindakan Adenan sebagai tidak matang dan berharap Ketua Menteri Sarawak itu menghentikan tindakan prejudis terhadap pimpinan pembangkang.
「Saya di antara salah seorang individu yang tidak dibenarkan memasuki Sarawak. Antara sebab utama adalah saya membangkitkan isu rogol wanita Penan di Parlimen. Saya menuntut jawapan daripada Ketua Menteri namun hasilnya adalah saya dilarang untuk masuk ke negeri tersebut.
「Penting untuk saya berada di Sarawak bagi bertemu dengan masyarakat Penan dan ini menjadi tanggung jawab saya sebagai Ahli Parlimen dan tidak menjadi satu kesalahan jika saya hendak menjalankan tugas saya,」 katanya.
Jumaat lalu. Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dihalang memasuki Sarawak
文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat98/node1017468轉載請註明來源:今天頭條