S4S kesal Adenan abai jemputan hadiri debat

Hastomo ...| 2016-04-12| 檢舉

S4S kesal Adenan abai jemputan hadiri debat 『Melindungi Sarawak』

April 12, 2016, Tuesday

KUCHING: Pergerakan Sarawak for Sarawakian (S4S) kesal dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mengabaikan jemputan pihaknya untuk menghadiri perdebatan 『Melindungi Sarawak』, kelmarin (Ahad).

Perdebatan seumpama itu adalah pertama kali diadakan di Sarawak dan Malaysia yang menyentuh mengenai apakah yang harus rakyat Sarawak lakukan bagi mengembalikan autonomi Sarawak.

Pengerusi penganjur Peter John Jaban berkata tujuan pihaknya menjemput Adenan adalah untuk bersama-sama membincangkan masa depan Sarawak dan pada masa sama, pihaknya merancang menyerahkan petisyen yang mengandungi 300,000 tandatangan daripada rakyat Sarawak kepada Adenan.

Tandatangan yang dikumpulkan pada petisyen tersebut menerusi kempen S4S adalah menekankan autonomi Sarawak.

「Beliau tidak mempedulikan jemputan kami… S4S yang menyuarakan hak rakyat Sarawak tidak penting bagi beliau,」 katanya sambil menambah, akan menyerahkan petisyen tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam pada itu, perdebatan 『Melindungi Sarawak』 anjuran S4S telah mendapat sambutan apabila ratusan orang menghadiri acara tersebut yang diadakan di Teater Kenyalang, Kenyalang Park di sini.

Ia turut dihadiri warga dari Singapura, Hong Kong serta Australia termasuk wakil-wakil daripada PBB.

「Kami di sini hari ini untuk membincangkan mengenai masa depan Sarawak,」 kata Peter.

Jelas beliau, perdebatan berkenaan diadakan kerana ahli-ahli politik di Malaysia tidak pernah menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963, yang mengabaikan hak-hak Sarawak sejak berdekad lalu.

「Sarawak telah terlibat dalam penubuhan Malaysia tetapi menjadi negeri yang paling mundur dan miskin,」 katanya.

Perdebatan tersebut melibatkan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, Timbalan Presiden PBDS Patrick Anek Uren dan Setiausaha SUPP Pelawan Michael Tiang.

文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat98/node1017461

轉載請註明來源:今天頭條