Halang pembangkang masuk Sarawak tanda kelemahan BN: Baru

Hastomo ...| 2016-04-12| 檢舉

Halang pembangkang masuk Sarawak tanda kelemahan BN: Baru

April 12, 2016, Tuesday

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mendakwa halangan terhadap Ahli Exco Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abdul Kassim masuk ke Sarawak menunjukkan tanda kelemahan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang memberitahu bahawa larangan itu membuktikan Adenan tiada beza dengan pemimpin Sarawak terdahulu.

「Kita bersetuju bahawa hak rakyat Sarawak perlu dilindungi termasuk hak kita untuk mengawal kemasukan individu ekstremis mengikut Akta Imigresen.

「Bagaimanapun, kuasa untuk menghalang kemasukan ke negeri ini mesti dilaksanakan dengan telus dan sebab-sebab yang betul seperti menghalang individu ekstremis dan penjenayah.

「Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilarang masuk ke negeri ini oleh Ketua Menteri datang untuk tujuan melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sah yang dibenarkan di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen,」 katanya menerusi kenyataan akhbar di sini, semalam.

Baru menjelaskan bahawa lawatan Abdul Malik ke negeri ini adalah untuk melihat perkembangan ahli PKR di sini dan membincangkan hal ehwal parti.

「Alasan yang rapuh diberikan oleh ahli-ahli politik Barisan Nasional (BN) untuk menghalang pemimpin pembangkang hanya menarik ejekan dan cemuhan daripada orang ramai,」 tambahnya.

Beliau menegaskan hak larangan itu digunakan oleh pentadbiran BN sebagai 『alat』 politik sejak dahulu lagi dan ia jelas membuktikan salah guna kuasa Ketua Menteri sekali gus menunjukkan ketidakadilan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).

「Orang ramai bebas untuk menilai sendiri sama ada ini adalah seorang pemimpin yang harus disokong, seorang yang tidak berlaku adil yang menggunakan taktik kotor terhadap kami di pihak pembangkang,」 katanya.

Baru berkata sudah tiba masanya rakyat di negeri ini menolak BN kerana Sarawak sudah lama menjadi negeri termiskin di Malaysia dan masih jauh ketinggalan daripada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya lagi, BN hanya berminat untuk melindungi kepentingan mereka sendiri.

「Dengan menghalang ahli politik daripada pembangkang datang ke negeri ini menunjukkan kelemahan Ketua Menteri dan beliau takut rakyat Sarawak terpengaruh serta menyokong visi yang kami ketengahkan,」 tambahnya.

Selain itu, Baru memberitahu bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan terus melindungi hak rakyat Sarawak tetapi dengan cara yang betul dan sah.

「Keadilan dan kesaksamaan perlu dikembalikan kepada pentadbiran Sarawak untuk masa depan yang lebih baik daripada rakyat Sarawak,」 ujarnya.

文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat98/node1017455

轉載請註明來源:今天頭條