Bapa selamat, anak meninggal dibaham buaya
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Samarahan: Bapa parah, anak perempuannya berusia tiga tahun meninggal dunia dibaham buaya ketika mandi di Sungai Mata di sini, petang tadi.
Dalam kejadian 6 petang itu, tangan kiri Abdul Rahim Maarof, 26 hampir putus ketika bergelut mempertahankan anak perempuannya, Erlieyascha Abdul Rahim, 3, daripada dibaham buaya.
Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya Mohd Zulhilmi Ibrahim berkata, ketika kejadian dua beranak itu mandi di anak sungai berhampiran rumah mereka di kawasan ladang kelapa sawit.
Menurutnya, ketika mereka mandi, seekor buaya tiba-tiba muncul dan terus menyambar kanak-kanak perempuan itu.
"Bapa mangsa yang menyedari kejadian itu segera menarik kanak-kanak itu dan cuba berenang ke tebing sungai. Namun, buaya terus menyerang dengan mengigit tangan mangsa.
"Mangsa yang kesakitan terlepas pegangan anak perempuannya dan melihat kanak-kanak itu dibaham dibawa buaya," katanya.
Katanya, dalam keadaan parah, bapa mangsa terus pulang ke rumah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada isterinya.
"Mangsa dihantar ke Hospital Jantung Sarawak, Kota Samarahan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut," katanya.
Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.19 petang.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba membuat pemantauan di lokasi kejadian dan menemui selipar mangsa di tebing sungai bersama peralatan mandi.
"Keadaan terlalu gelap dan operasi mencari mangsa yang hilang tidak dapat dilaksanakan. Kita akan memulakan operasi pada pagi esok," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 11:26 PM
Mohd Zulhilmi (kanan) bersama Pegawai JPAM Samarahan, Ahmad Shah Fikri Darus (kiri) berbincang mengenai operasi mencari budak perempuan berusia 3 tahun yang dibaham buaya di Sungai Mata, Samarahan. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat98/node1009884轉載請註明來源:今天頭條