Pakar Sahkan Crocs Tak Sesuai Dipakai Sehari Suntuk
Published on Jun 8, 2016 in Hangat/Utama & Sensasi
AMERIKA SYARIKAT: Sandal getah Crocs telah terjual melebihi 300 juta pasang di 90 negara di seluruh dunia sejak diperkenalkan pada tahun 2002 di Florida.
Walaupun ramai yang menggemari kasut getah berwarna-warni ini, doktor pakar kaki telah mengesahkan, sandal Crocs ternyata tidak sesuai digunakan sehari suntuk atau dalam jangka masa yang panjang.
Seorang pakar dari Institut Tulang dan Sendi Illinois di Chicago, Dr Megan Leahy memberitahu, pemakaian Crocs untuk jangka masa panjang adalah tidak sesuai kerana ia hanya memberikan sokongan yang baik pada lengkungan kaki dan tidak di bahagian tumit.
「Crocs boleh dipakai di tepi pantai atau kolam renang, namun ia tidak sepatutnya dipakai ketika berjalan jauh. Saya juga sedar bahawa kanak-kanak malah orang dewasa cenderung untuk tersadung dan terjatuh ketika memakai Crocs,」 kata Leahy.
Tambahnya, apabila tumis berada dalam keadaan tidak stabil, ibu jari kaki cenderung untuk mencengkam dan ini boleh menyebabkan penyakit tendinitis, kecacatan pada ibu jari kaki, masalah kuku dan kulit kering yang menebal.
Masalah sama juga boleh berlaku jika seseorang kerap memakai selipar atau kasut jenama lain tanpa sokongan di bahagian tumit, lapor Huffington Post.
Presiden Akademi Perubatan Sukan Kaki Amerika, Dr Alex Kox juga mengatakan bahawa ciri paling penting bagi sepasang kasut ialah jenis kasut yang dipanggil 『shank』 iaitu satu struktur yang menyokong antara bahagian tumit dan ibu jari. – MYNEWSHUB.CC
轉載請註明來源:今天頭條