PANAS!!!..Rajagobal nafi pemain Sarawak terima rasuah

Rahman ...| 2016-03-05| 檢舉

KETUA jurulatih Sarawak, Datuk K Rajagobal menolak dakwaan rasuah berikutan kegagalan pasukan itu mencatat kemenangan tunggal selepas empat perlawanan Liga Super musim ini.

Setakat ini, skuad Bujang Senang sekadar melakar satu keputusan seri dan tiga kekalahan.

Rajagobal yang dilantik selaku pengendali Sarawak pada Disember lalu, enggan mengulas lanjut dakwaan mengatur perlawanan itu, sebaliknya menegaskan adalah lebih baik untuk memberi tumpuan kepada bagaimana meningkatkan prestasi merosot pasukan.

"Kami sentiasa berusaha keras untuk meningkatkan prestasi pasukan dan memastikan bahawa Sarawak akan kembali mencatat kemenangan.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai dakwaan rasuah kerana perkara ini hanya mengganggu fokus pemain.

"Saya beri jaminan bahawa pasukan ini bermain untuk menang dalam setiap perlawanan," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan rasuah dibuat menerusi laman Facebook Penyokong Lalang Sarawak FA, yang viral sejak minggu lalu.

Pemilik Facebook berkenaan turut meminta satu siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu.

Mengulas lanjut dakwaan berkenaan, Rajagobal berkata: "Adalah tidak adil untuk mengaitkan pasukan dengan elemen negatif. Saya percaya semua pemain telah beri komitmen 100 peratus semasa latihan dan juga perlawanan."

Aksi kurang memberangsangkan Sarawak selepas empat perlawanan menyaksikan pasukan itu menghuni tangga kedua tercorot Liga Super dengan satu mata.

Juara Liga Perdana 2013 itu juga telah terkeluar daripada saingan Superbest Power Piala FA selepas tumpas 1-3 kepada Perak di pusingan kedua.

文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat112/node938420

轉載請註明來源:今天頭條