
Bukitan atau Baketan merupakan salah satu etnik peribumi di Sarawak Bumi Kenyalang. Populasi etnik ini ramai terdapat di bahagian Bintulu. Walau bagaimanapun, etnik minoriti ini sebenarnya sedang diancam kepupusan. Dikatakan salah satu penyebab kepada ancaman kepupusan ini adalah kerana terdapatnya adat perkahwinan campur yang diamalkan sejak dari dahulu lagi. Perkahwinan campur dengan etnik-etnik lain di negeri Sarawak telah menyebabkan sukarnya untuk mendapatkan 100% Bukitan yang asli.
Asal-usul keturunan etnik Bukitan dikatakan berasal dari satu tempat bernama Palin, Kalimantan. Menurut legenda etnik Bukitan, penghijrahan etnik Bukitan ke Sarawak telah pun bermula sejak beratus-ratus tahun yang dahulu dan pusat penghijrahan etnik adalah melalui kawasan Lubok Antu.
Dikatakan bahawa, pada suatu waktu dahulu ketika etnik ini bermastautin di Kalimantan telah datang satu kaum Iban daripada Kapuas, Kalimantan yang telah menjalan adat 「pengayau」 atau pemburu kepala telah menyerang mereka dan seterusnya telah menyebabkan mereka terpaksa berhijrah daripada tanahair mereka sehingga ke Sarawak.
Di dalam pelarian menyelamatkan nyawa ini, etnik Bukitan ini telah sampai hingga ke Saribas dan seterusnya mereka menetap dan mula membina masyarakat Bukitan di Saribas.
Menurut sejarah awal kewujudan etnik Bukitan di Sarawak, pada suatu waktu dahulu kehadiran etnik ini Saribas dikatakan menerima tentangan yang hebat daripada etnik Iban Saribas sendiri dan seringkali mereka menjadi mangsa kepada adat pengayau dan memaksa mereka untuk berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mencari kedamaian. Akhirnya demi untuk survival etnik ini adat perkahwinan campur telah diperkenalkan di dalam masyarakat Bukitan pada waktu itu.
Perkahwinan untuk survival ini bermula dengan termeterainya perjanjian diantara Tindin, ketua masyarakat Iban di Paku Atas, salah satu anak sungai Saribas dengan ketua masyarakat Bukitan iaitu Entinggi Paku. Selepas perjanjian damai dimeterai akhirnya kedua-dua ketua masyarakat ini telah bersetuju untuk mengeratkan lagi sillaturahim mereka dengan mengahwinkan anak-anak mereka.
Perkahwinan anak perempuan Entinggi Paku dengan anak lelaki Tindin telah memastikan survival etnik Bukitan dapat diteruskan untuk beberapa ketika. Walau bagaimanapun, selang beberapa waktu telah timbul perselisihan faham diantara kedua-dua ketua masyarakat ini sehingga memaksa mereka untuk mengistiharkan perang diantara satu sama lain.
Apabila berlakunya peperangan ini maka sekali lagi etnik Bukitan yang menetap di Saribas terpaksa mengalah dan akhirnya memaksa mereka untuk berpindah-randah ke beberapa tempat dan akhirnya terus menetap di Sungai Merit, Bintulu sehinggalah ke hari ini. Dek kerana pada asalnya perkahwinan campur merupakan survival untuk etnik ini malah ketika di Bintulu juga mereka masih lagi mengamalkan adat perkahwinan campur sehinggalah sekarang.
Inilah sekelumit ruang informasi tentang Etnik Bukitan, satu etnik minoriti yang sedang mengalami ancaman kepupusan di Sarawak Bumi Kenyalang. Sebelum mereka menjadi antara etnik yang pupus di bumi Sarawak adalah wajar untuk kita mengenali sejarah dan sumber warisan budayanya di bumi Sarawak. Sesungguhnya Sarawak Bumi Kenyalang sememangnya kaya dengan kepelbagaian etniknya dan etnik Bukitan adalah salah satu daripada Bangsa Sarawak.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.
轉載請註明來源:今天頭條