
ADA yang melihat terlalu cepat untuk wanita ini kembali bergelar isteri selepas hanya bercerai pada 25 Mei lalu. Tetapi bagi Raja Farah apabila membabitkan soal jodoh, kuasanya sebagai manusia terbatas. Mengurai persoalan yang bermain di fikiran banyak orang luar, ingin wanita ini tegaskan, perkenalannya dengan bakal suami berlaku dalam keadaan tidak disangka dan cukup sekejap sebelum mereka membuat keputusan untuk bertunang.
Tambah wanita ini dalam mengelakkan konflik melalui status yang dibawa, dia juga sudah mendapatkan nasihat daripada pihak sepatutnya untuk mendapatkan kepastian sama ada dia melanggar apa-apa hukum agama melalui keputusannya ini.
「Kalau ikutkan saya sudah tiga kali bersuci, maknanya tempoh idah saya sudah habis pada 22 Julai lalu. Dalam pada itu memang saya juga sudah ajukan soalan ini kepada pihak berwajib. Katanya tidak ada masalah untuk saya meneruskan niat saya ini, bertunang.
「Keputusan yang saya buat ini juga hadir dengan keizinan keluarga, jadi saya fikir ini sudah menjelaskan kedudukan saya kini,」 katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.
Ditanya detik perkenalan dia dan bakal suami, kata Raja Farah semuanya berlaku dalam keadaan tidak dijangka. Malah selepas bercerai, memang dia selalu berdoa untuk mendapatkan jodoh semula, namun siapa sangka secepat ini.
「Cepat atau lambat saya berkahwin, itu semua ketentuan jodoh. Selepas bercerai memang saya tidak nafikan sedia menerima orang lain, memandangkan saya tahu saya masih lagi muda dan tidak salah sekiranya untuk saya berkahwin semula.
「Saya berkenalan dengan tunang ketika 2 Ramadan lalu, memandangkan ketika itu dia tidak tahu diri ini pelakon jadi memang status saya tidak diketahui dia. Dalam tempoh itu, saya dan dia tidaklah bercinta tetapi lebih kepada berkawan sahaja, malah keluarga saya juga mengetahuinya,」 katanya.
Enggan berkongsi identiti bakal suaminya itu, kata Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 27, cukup sekadar dia memperkenalkan bakal suaminya itu sebagai II. Katanya permintaan ini dibuat atas persetujuan bersama dalam memastikan kelancaran hari bahagia mereka kelak.
「Saya tidak boleh dedahkan siapa dia saat ini, bagaimanapun apa yang boleh saya beritahu dia merupakan seorang ahli perniagaan yang berasal dari Ampang, Selangor dan berusia 33 tahun. Berbeza status dengan saya, perkahwinan ini bakal menjadi kali pertama untuk dia dan kedua untuk saya.
「Kenapa saya tidak mahu dedahkan siapa dia, rasanya memang kami sendiri sudah bersetuju dalam mengelakkan apa-apa kejadian tidak diingini kelak. Jadi saya fikir elok sahaja di hari pernikahan kelak baru saya dedahkan siapa bakal suami saya ini,」 katanya.
Kahwin tahun ini
Tidak sekadar merahsiakan identiti bakal suaminya, Raja Farah juga turut membuat keputusan agar segala maklumat mengenai persiapan majlis pernikahannya juga turut dirahsiakan.
「Pada hari ini saya hanya mulakan dengan acara bertunang dahulu memandangkan semalam pihak keluarga lelaki sudah datang dengan rombongan merisik. Namun tarikh pernikahan saya rahsiakan, tetapi memang akan berlangsung pada tahun ini.
「Macam saya katakan tadi saya cuba elakkan perkara tidak diingini dari berlaku, sebab itu saya senang sekiranya majlis perkahwinan kami tidak kongsi dahulu. Cuma maklumat yang boleh saya kongsi majlis pernikahan saya akan berlangsung di Masjid Bukit Jelutong, dan majlis resepsi pula akan diadakan di Hotel De Palma Ampang,」 kongsinya.
Pada mulanya dia sendiri sangsi dengan penerimaan keluarga bakal mertuanya memandangkan status janda yang dibawa. Namun di sebalik kerisauan itu dia diterima dengan baik keluarga bakal mertuanya dan membuatkan pelakon yang terkenal melalui drama Aku Masih Dara ini cukup bersyukur dengan keputusannya ini.
「Setakat ini keluarga bakal mentua saya cukup terbuka, malah bagi mereka kami berdua sudah cukup dewasa dalam menentukan pilihan masing-masing.
「Rasanya tidak timbul masalah soal lain, cuma setakat ini saya dan bakal suami akan lebih tumpukan kepada persiapan majlis perkahwinan sahaja,」 katanya.
Sementara itu, Raja Farah juga tidak menolak berita pertunangannya ini juga diterima dengan baik oleh bekas suaminya, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 30. Malah katanya dia turut menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp beberapa hari sebelum mengikat tali pertunangan.
「Memang dia tidak sangka secepat ini saya akan bertemu orang baharu, namun pastinya dia sangat gembira dan mendoakan saya.
「Nampaknya kami sudah sampai fasa di mana masing-masing juga sudah terima yang tiada jodoh antara kami. Matang dalam hal ini saya juga mahu mengharapkan kebahagiaan untuk dia,」 katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/selebriti/tidak-langgar-hukum-1.123783#sthash.NVHFptHT.dpuf
轉載請註明來源:今天頭條