Nahas helikopter Sarawak: Tinggal 1 masih hilang, 5 mayat...

Munier ...| 2016-05-07| 檢舉

Nahas helikopter Sarawak: Tinggal 1 masih hilang, 5 mayat sudah ditemui

KUCHING, Sarawak: Sehingga malam ini (7 Mei), sejumlah lima mayat sudah ditemui daripada nahas helikopter di Sarawak, demikian disahkan pihak berkuasa tempatan.

Mayat kelima ditemui sekitar 6.00 petang di Tanjung Beleban, sekitar 2.5 kilometer daripada pusat operasi mencari dan menyelamat di Lingga, menurut polis.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, juga mengumumkan petang tadi bahawa mayat kedua yang dijumpai disahkan jasad Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Sementara itu, polis juga mengenal pasti jenazah ketiga yang ditemui sebagai Encik Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Noriah Kasnon.

Jenazah Allahyarham Sobri ditemui dengan pakaian dan dokumen-dokumen pengenalan masih sempurna padanya di Sungai Batang Lupar, berhampiran tempat di mana para pegawai mencari dan menyelamat menjumpai jenazah Datuk Noriah semalam.

Demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jenazah Allahyarhamha Datuk Noriah selamat dikebumikan awal pagi tadi. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antara mereka yang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamha.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 yang malang itu sedang membawa Datuk Noriah, suaminya Asmuni Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datuk Dr Sundaran, Encik Ahmad Sobri serta juruterbang Kapten Rudolf Rex Ragas dari Betong ke Kuching apabila ia dilaporkan hilang pada 5 Mei.

Pihak berkuasa menyatakan laluan penerbangan itu selamat, namun keadaan cuaca ketika itu buruk. Usaha untuk mencari mangsa lain yang masih hilang diteruskan.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohamad Sabtu Osman, helikopter berlepas pada 4.12 petang dan terputus hubungan dengan menara kawalan pada 4.32 petang.

Penerbangan dari Betong ke Kuching biasanya mengambil masa 35 hingga 45 minit.

Usaha pencarian dihentikan buat sementara waktu pada 8.00 malam semalam dan diteruskan pada pagi tadi.

文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat112/node1063700

轉載請註明來源:今天頭條