Mayat ketiga nahas helikopter ditemui

Naan Ma ...| 2016-05-07| 檢舉

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman Twitternya sebentar tadi mengumumkan mayat ketiga nahas helikopter di Lingga, Sarawak sudah ditemui.

Beliau dalam siri Twitter itu menyatakan mayat ketiga sudah ditemui dan sedang dalam urusan diterbangkan ke IPK Kuching.

「Mayat ketiga ditemui di Lingga. Urusan untuk menerbangkan ke IPK Kuching sedang diuruskan. Saya berada di bilik mayat hospital Kuching,」 tulis Ahmad Zahid.

Identiti mayat ketiga ini juga belum dikenalpasti.

Mayat itu dilapor ditemui penduduk kampung menghubungi pihak polis pada jam 10.30 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak SCP Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, mayat mangsa masih belum dapat dibawa keluar oleh pasukan SAR berikutan air sungai di kawasan penemuan sudah surut.

「Keadaan itu menyukarkan operasi SAR tetapi kami akan berusaha menggunakan helikopter mendekati lokasi dan cuba keluarkan mayat menggunakan kaedah 『airlift』,」 katanya.

Pada pukul 8.34 pagi tadi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat kedua di Sungai Batang Lupar.

Mayat mangsa yang masih terikat di tali pinggang keselamatan kerusi ditemui berhampiran Pulau Seduku, kira-kira 10 kilometer dari pusat operasi SAR juga masih belum diketahui identitinya lagi.

Setakat ini hanya mayat pertama yang ditemui berdekatan lokasi serpihan helikopter dikenalpasti milik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan selamat dikebumikan di kampung halaman beliau di Tanjung Karang, Selangor.

Selain Noriah helikopter itu turut dinaiki suaminya, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

文章來源: https://www.twgreatdaily.com/cat112/node1063124

轉載請註明來源:今天頭條