
BANDA HILIR - Seorang guru sebuah pusat tuisyen ditahan polis di sini, kelmarin kerana dipercayai memukul seluruh badan anak murid perempuannya sehingga berbirat.
Menurut sumber, kanak-kanak berusia 8 tahun itu dipukul dikatakan kerana tidak menyiapkan latihan yang diberikan guru wanita berusia 37 tahun berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, guru berkenaan ditangkap di pusat tuisyen di Gajah Behrang, di sini kira-kira 10.30 malam kelmarin selepas polis menerima laporan pada 20 April lalu.
「Wanita itu kini ditahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan terhadapnya selesai petang tadi (semalam).
「Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,」 katanya.
Difahamkan, kanak-kanak tahun dua itu tinggal dan bersekolah di negeri ini bersama nenek dan datuknya, sementara ibu bapanya bekerja di Singapura.
Datuk kanak-kanak itu yang berusia 63 tahun membuat laporan pada 20 April lalu di Balai polis Tengkera selepas melihat kesan seperti dipukul rotan pada anggota badan cucunya yang baru balik dari pusat tuisyen, kira-kira jam 7.15 malam, Rabu lalu.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Sementara itu, di JOHOR BAHRU, datuk kepada kanak-kanak tersebut membuat sidang media di pejabat Pengaduan Awam Timbalan Pengerusi Biro MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang, kelmarin.
「Anak perempuan saya bekerja di Singapura dan tinggal di Johor Bahru dengan bapa tiri kanak-kanak ini. Dia menguruskan perniagaan dan saya yang menjaganya sejak kecil.
「Ini bukan kali pertama cucu saya dirotan di pusat tuisyen itu tetapi saya anggap ia perkara biasa kerana hanya memukulnya di tangan,」 katanya.
Sementara, bapa tiri kanak-kanak terbabit yang turut serta dalam sidang media itu juga tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.
「Guru itu kata anak perempuan saya lambat dalam pelajaran dan tidak menyiapkan kerja rumah. Itulah sebabnya dia memukulnya.
「Ketika mula masuk pusat tuisyen itu, memang pentadbiran pusat ada beritahu guna kaedah rotan dan kami sedar dia selalu dirotan di tangan tetapi apabila hampir keseluruhan kakinya lebam, itu serius,」 katanya.
轉載請註明來源:今天頭條