Ganja – Manfaat atau Mudarat?

@ 2016-03-31

Baru-baru ini, terdapat cadangan daripada beberapa pihak untuk menghalalkan ganja. Polemik berkenaan ganja telah disiarkan di media dan menarik perhatian pelbagai pihak.

Carta di bawah diambil daripada artikel yang disiarkan dalam jurnal The Lancet, sebuah jurnal perubatan United Kingdom.

Carta tersebut menunjukkan tahap kebergantungan terhadap sesuatu jenis dadah dan kesan mudarat fizikal penyalahgunaan dadah tersebut.

Berdasarkan carta, Cannabis (nama lain: ganja, marijuana) berada di atas dadah-dadah perangsang (stimulant) seperti ecstasy,lysergic acid (LSD) dan gamma hydroxybutyric acid (GHB). Oleh demikian, ganja menyebabkan ketagihan yang lebih kuat berbanding ketagihan ecstasy, LSD atau GHB.

Tetrahydrocannabinol (THC) Dari Sudut Perubatan dan Undang-Undang

Bahan aktif dalam ganja ialah tetrahydrocannabinol (THC). THC tergolong sebagai bahan kimia kelas cannabinoid. Cannabinoidmerupakan bahan kimia yang merangsang reseptor cannabinoid dalam badan manusia.

THC bersifat menghilangkan sakit (pain killer) dan boleh mengurangkan rasa loya. Terdapat beberapa kajian telah dilakukan untuk menguji THC untuk tujuan perubatan. THC didapati berjaya mengurangkan gejala yang dialami oleh pesakit multiple sclerosis, sejenis penyakit saraf. Selain itu, THC juga menambahkan selera makan & mengurangkan rasa loya pesakit yang menjalani kemoterapi.

Sehingga kini, terdapat dua produk ubat yang diolah daripada struktur kimia THC telah diluluskan oleh Food & Drug Administration(FDA), Amerika Syarikat. Produk-produk tersebut ialah dronabinol dan nabilone. Kedua-dua ubat tersebut telah diluluskan penggunaan di Amerika Syarikat untuk beberapa indikasi tertentu.

Di Malaysia, buat masa ini kedua-dua produk ubat yang dinyatakan di atas belum didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. THC dikategorikan sebagai dadah berbahaya di dalam Bahagian Ketiga, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952. Oleh demikian pengimportan kedua-dua produk ubat tersebut tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan peraturan-peraturan berkaitan.

Ganja – Manfaat atau Mudarat?

Terdapat beberapa justifikasi telah diberikan oleh pihak yang mencadangkan ganja dihalalkan. Di antara justifikasi tersebut ialah, ganja boleh memberikan ketenangan, mengurangkan tekanan seterusnya mengurangkan kadar jenayah. Pihak tersebut turut mendakwa ganja mampu merawat kanser, sawan, gout dan kencing manis.

Sebagai contoh, pada tahun 2014, satu kes pembunuhan telah berlaku di Amerika Syarikat akibat halusinasi kesan pengambilan ganja. Kesan penggunaan ganja cuma meredakan gejala kemurungan buat sementara, malah terdapat kajian-kajian yang merumuskan penggunaan ganja boleh meningkatkan risiko masalah mental seperti psikosis dan skizofrenia.

Seperti yang telah dibincangkan berkenaan sifat terapeutik THC, setakat ini tiada bukti konkrit yang menyatakan THC boleh menyembuhkan pelbagai penyakit. Sifat terapeutik THC terhad kepada penggunaan dalam beberapa senario perubatan sahaja..

Sifat terapeutik ubat dipengaruhi oleh struktur kimia ubat tersebut. Struktur kimia yang spesifik akan mencetuskan tindak balas spesifik di dalam tubuh badan.

Dakwaan bahawa THC boleh menyembuhkan penyakit kronik seperti kanser, sawan, gout dan kencing manis merupakan dakwaan yang tidak benar. Dakwaan sedemikian biasanya dilakukan oleh peniaga tidak bertanggungjawab yang hanya ingin melariskan jualan produk mereka.

Kesimpulan

Kesimpulannnya, terdapat ubat-ubatan yang telah dihasilkan daripada THC, bahan aktif dalam ganja. Walau bagaimanapun, kegunaan ubat-ubatan tersebut terhad kepada beberapa kegunaan sahaja seperti merangsang selera makan dan mengurangkan rasa loya yang dialami oleh pesakit kanser yang menjalani kemoterapi. Fakta ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menghalalkan ganja.


相关文章