Sepasang kekasih disyaki pecah tabung masjid

@ 2016-03-27

BUTTERWORTH - Sepasang kekasih yang sedang menjelajah negara dengan sebuah motosikal ditahan di Kampung Gajah di sini awal pagi Khamis lepas kerana disyaki terlibat dengan beberapa kes pecah tabung masjid.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pasangan yang berasal dari Pengerang, Johor dan berusia 24 tahun itu ditahan ketika berada di bawah pengaruh dadah kira-kira jam 2.15 pagi di sebuah hotel murah.

Beliau berkata, polis sebelum itu menerima tiga laporan berhubung kejadian pecah tabung masjid di Bagan Ajam, Pongsu Seribu dan Pajak Song dan merima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah masjid yang dipercayai dipecah masuk suspek.

"Hasil maklumat dan risikan, pihak polis berjaya mengesan pasangan itu sebelum berjaya menahan mereka dan ketika ditangkap kedua-duanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat pengaruh dadah," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dengan tiga kejadian pecah tabung masjid di Bagan Ajam serta 12 lagi kes yang sama di luar daerah ini yang pernah dilawati mereka.

Menurutnya, difahamkan mereka menjelajah seluruh Semenanjung bermula dari Pengerang, Johor sejak bulan lepas dan dipercayai menyamun tabung masjid di beberapa daerah sebelum tiba di Pulau Pinang.

"Suspek dipercayai masuk ke masjid dan bertindak memecah tabung masjid tanpa mengira waktu serta kerap melakukannya pada sebelah petang sebelum solat Asar.

"Pasangan kekasih itu menggunakan peralatan yang dibawa seperti playar, dawai dan beberapa peralatan lain bagi memecah tabung masjid," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk bekerjasama dengan beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah lain bagi menyemak penglibatan suspek di daerah tersebut.

Pasangan yang positif dadah jenis amphetamine itu kini direman dan kes disiasat menurut Seksyen 280 Kanun Keseksaan, katanya.


相关文章