MISTERI BATU RASAK DI SERAWAK

@ 2016-03-10

Gambar 1

Kura-Kura.....batu seperti seekor kura-kura di dalam sebuah parit di Kampung Penan Muslim Batu 10 Jalan Bintulu-Miri, Sarawak.

Gambar 2

Unta....batu seperti seekor unta yang sedang berehat di Kampung Penan Muslim Batu 10 Jalan Bintulu-Miri,

Sarawak.

Misteri Batu Rasak

Siri 1

Kisah misteri kewujudan `Batu Rasak' memang tidak begitu diketahui umum. Malah kedudukannya yang tersembunyi didalam hutan, di samping menyimpan pelbagai cerita ghaib yang sukar dihuraikan ia menjelaskan bahawa batu itu sememangnya jarang dikunjungi oleh manusia, walaupun oleh penduduk kampung di kawasan itu sendiri.

Berlainan dengan `Batu Katak' di Jalan Bintulu-Sibu yang menjadi tempat tumpuan pemujaan `kaki nombor ekor' , Batu Rasak pula berlainan sifatnya . Malah Batu Rasak bukanlah tempat yang sesuai untuk mereka melakukan perkara sedemikian kerana batu itu dipercayai `berpenunggu' dan dihuni oleh makhluk halus seperti yang dihebohkan oleh segelintir penduduk kampung di kawasan itu.

Oleh kerana berpenunggu, batu yang terletak didalam hutan Kampung Penan Muslim Batu 10 Jalan Bintulu-Miri, tidak boleh dikunjungi sesuka hati. Pengunjung yang ingin datang melihat batu itu secara lebih dekat, perlu mematuhi `pantang-larang' tertentu dan berjumpa dengan seorang ketua dari kampung tersebut untuk membawa ke tempat batu itu.

Kalau mula-mula melihat batu itu, tanggapan awal mungkin tidak ada apa-apa yang luar biasa tentang batu itu dan jika dilihat ia hanyalah sebuah batu yang berdiri tegak disamping beberapa buah batu kecil lain yang sebesar meja makan bertaburan di kawasan hutan itu.

Memasuki laluan menuju ke kawasan batu itu sahaja kelihatannya beberapa buah rumah separuh siap, yang hanya tercacak tiang dan beratapkan zink milik beberapa orang penduduk kampung dan di sempadan jalan tanah pula menunjukkan tempat batu itu tersimpan. Malah pada kanan di sempadan jalan juga terdapat sebuah rumah separuh konkrit yang begitu indah binaannya.

Namun, beberapa penduduk kampung itu sendiri mendakwa tidak ada kejadian aneh berlaku di kampung itu dan ke atas mereka yang mendiami rumah yang jaraknya beberapa meter dari batu itu,walaupun sebelum ini berlaku perkara-perkara yang sukar dijelaskan ke atas beberapa orang luar yang datang melihat batu tersebut.

Untuk lebih selamat, penduduk `campuran' Penan di kampung itu, kini hanya mengambil pendekatan membiarkan batu itu pada kedudukannya, tidak mengusiknya samada untuk tujuan membersihkan semak-samun yang tumbuh meliar mengelilinginya atau berpesan pada anak cucu mereka supaya tidak menghampiri batu tersebut. Batu itu dikatakan wujud bukan dari jenis batu-batu biasa seperti yang kita lihat tetapi penulis diyakinkan yang kewujudannya disebabkan oleh `sumpahan' ke atas manusia. Sejauh mana kebenarannya, penulis cuba mengupas cerita misteri di sebaliknya apabila menemui seorang penduduk dan ketua di Kampung Penan Muslim, John Bin Kelat yang berusia 58 tahun yang menerima cerita kewujudan Batu Rasak dari nenek-moyangnya dan mengakui akan kebenaran sumpahan itu.

"Kita mengetahui kisah Batu Rasak ini seperti apa yang kita terima dari cerita nenek-moyang kita. Memang tidak ramai yang mengetahui cerita ini dan cuba untuk membongkarnya. Tapi kita percaya kejadian kaum Penan jadi batu ini benar-benar berlaku, cuma generasi Penan hari ini tidak ramai yang mengetahuinya. Justeru kita ingin terus memperturunkan cerita ini ke generasi Penan seterusnya.

"Kisahnya, bermula lebih 200 tahun yang lampau. Satu hari kaum Penan membuat pesta keramaian. Mereka telah memasak daging kura-kura, begitu juga dengan daging tupai di dalam buluh pada pesta keramaian itu. Setelah daging-daging itu dimasak, tibalah masa untuk mereka memakannya. Semasa mula-mula memakan daging kura-kura, mereka merasa daging kura-kura itu sangat sedap, tetapi apabila tiba giliran untuk memakan daging tupai, rasa daging tersebut berlainan daripada daging yang mula-mula mereka makan.

"Apabila merasa daging tupai itu berlainan dan kurang sedap, lantas mereka ketawa, dan setelah puas ketawa tidak sampai beberapa saat, keadaan dunia jadi tidak menentu, angin dan hujan turun. Mereka yang ketawa, tiba-tiba terus menjadi batu," katanya sambil menambah kejadian batu-batu itu adalah asalnya dari ketua kaum Penan yang dikenali sebagai Rasak dan anak-anak buah yang terkena sumpahan semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menurut John, "Ada yang jadi batu berdiri dan ada yang duduk. Sementara rajanya masih duduk atas tempat duduk khas milik kaum Penan. Mereka semuanya tidak dapat lari akibat ditimpa musibah tersebut".

"Namun ada beberapa orang anak-anak buah Rasak yang lain yang pergi berburu, bernasib baik. Mereka tidak jadi batu. Mereka yang selamat dari sumpahan (yang pergi berburu) itulah, bermulanya asal-usul keturunan kami, berkembang beranak-pinak sehingga sekarang di kampung ini," ujarnya.

"Kalau tidak kerana mereka yang berburu itu, tentu semuanya akan jadi batu. Kemungkinan Penan di sini tidak ada keturunan lagi sebab semuanya telah jadi batu," katanya dengan yakin. Katanya, "Sebab itulah apabila kerajaan merancang nak memindah kami di tempat lain, kami tidak mahu, sebab asal-usul kami bermula di sini".

Ditanya tahun sebenar kewujudan kaum dan kampung Penan tersebut katanya, "kita tidak tahu. Agak-agak dalam 200 tahun. Saya menerima cerita ini dari nenek-moyang dan seterusnya diingati dan disampaikan kepada generasi Penan sekarang".

"Apabila orang bercerita dengan saya...maka saya menulis sejarah ini dan membuat salasilah ketua yang memimpin kaum Penan. Orang dahulu hanya pandai mengingat tetapi tidak pandai menulis. Nak menulis tahun pun tak pandai, lebih-lebih lagi kalau hendak mengira," kata John.

Sementara itu, penulis yang dibawa sendiri ke tempat batu berkenaan turut merasa gerun mengenai penjelasan ketua kampung yang mendakwa ada perkara aneh timbul dari batu tersebut, namun atas jaminan beliau, penulis akhirnya bersetuju untuk ke tempat tersebut untuk melihat sendiri kedudukan batu yang dipercayai menyimpan kisah aneh dan tersirat tersebut.

"Tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Jika niat kita baik dan mulut tidak celupar, kita tidak akan dipengapa-apakan oleh batu ini," kata John menyakinkan penulis.

Memasuki hutan dengan berjalan kaki menuju ke tempat batu itu yang jauhnya kira-kira setengah kilometer dari kampung Penan Muslim, tidaklah begitu menyukarkan kerana ia bukanlah hutan tebal, tetapi dari pengamatan penulis kawasan tanah itu seperti sebuah kebun, yang telah diterokai, namun agak terbiar dengan ditumbuhi semak-samun.

Mula-mula sampai ke hutan tersebut, sebuah batu besar yang dikelilingi oleh batu-batu kecil lainnya `berdiri tegak' ditengah-tengah yang lain seolah-olah `menyambut' kedatangan kami ke tempat mereka.Mungkin sesuai dengan fungsinya sebagai ketua, maka batu tunggal besar itu `wajar tinggi dan besar' daripada yang lain.

Batu besar itu terletak pada kedudukannya dengan disempadani oleh aliran sungai Sepegang. Jika dilihat sekali pandang pada batu itu, sememangnya tiada apa-apa keanehan yang tersimpan padanya, namun setelah ketua kampung meminta agar melihat secara lebih terperinci pada hujung batu tunggal, kelihatannya ada bentuk seperti `muka dan hidung'. Mungkin secara artistiknya ia memang kelihatan begitu akibat `hakisan' hujan dan angin, tetapi penulis cuba diyakinkan bahawa batu itu asalnya dari manusia maka bentuk-bentuk manusia padanya sudah pasti akan kelihatan.

"Yang besar inilah Batu Rasak, sementara batu-batu kecil lainnya adalah pengikut-pengikut Rasak," kata John menunjukkan batu besar dan beberapa batu kecil lainnya sambil menjelaskan yang beliau amat percaya mengenai asal-usul kewujudan batu yang disebabkan oleh sumpahan ke atas ketua kaum Penan itu.

Kami berada di tempat batu itu hampir setengah jam. Ada bermacam bentuk batu. Keadaannya juga seperti sebuah gua batu, ada lubang khusus pada bawah batu besar. Ada juga sebuah batu kecil timbul dari tanah dan telah didirikan tiang yang beratapkan zink seolah-olah satu tempat perlindungan bagi batu itu. Ia juga seperti sebuah batu nisan kecil.

"Dulu batu ini tenggelam. Sekarang batu ini boleh dilihat timbul dari permukaannya," ujar anak buah ketua kampung, Raini Piee.Ditanya mengapa keadaan tersebut jadi begitu katanya, "kita tidak pasti tetapi ini menggambarkan `keanehan' kepada batu ini yang asalnya dari sekelompok manusia".

Ditanya kemungkinan tanah tersebut mendap ke bawah, beliau berkata, "ia tidak mungkin berlaku, kerana sebelum ini permukaan batu itu, sememangnya tidak kelihatan dan berada didalam tanah."

Raini menjelaskan mengenai kebenaran cerita ketua kampung tersebut kepada penulis sambil menunjukkan beberapa buah batu kecil lain disekeliling batu besar di kawasan hutan kampung tersebut.

Beliau berkata kebanyakkan penduduk Penan di kawasan itu jarang ke tempat tersebut, disebabkan takut akan malapetaka buruk yang akan menimpa keluarga mereka sekiranya ke tempat batu tersebut sesuka hati.

Penulis mengambil peluang untuk mengamati keadaan di sekeliling batu itu yang agak menyeramkan.Ia ditumbuhi semak-samun. Banyak batu-batu yang pelbagai rupa ditemui, termasuk batu unta dan kura-kura sepanjang jalan menuju ke batu besar. Mujurlah berempat dan atas jaminan, kalau berseorangan kemungkinan penulis menghayun `langkah seribu' meninggalkan tempat tersebut, lebih-lebih lagi apabila penulis dijelaskan mengenai cerita aneh di sebalik kewujudan batu itu dan beberapa pengunjung yang telah ditimpa musibah selepas mengunjungi batu tersebut.

Siri 2

Batu Rasak didakwa mempunyai beberapa keanehan dan dipercayai satu daripada tempat yang memiliki pelbagai cerita yang pelik di sebalik kewujudannya di Kampung Penan Muslim Batu 10.Satu keanehan yang sukar untuk dihuraikan dan pastinya akan berlaku bagi pengunjung yang mengunjungi batu itu ialah penyakit `gila' seperti kena rasuk.

Sejauh mana keadaan itu boleh berlaku, ketua kampungnya John Bin Kelat yang mengakui kebenaran cerita-cerita pelik daripada orang-orang dahulu semasa ditemui berkata, "Bagi orang yang baru datang ke sini, jangan bermulut celupar. Andai bermulut celupar, gilalah yang akan diterima, kerana batu ini masih lagi menyimpan `bisa'.

"Kita pun mulanya tidak percaya tetapi pernah seorang pengunjung yang datang ke tempat ini jadi gila. Apabila diubat dengan rawatan `bayuh'(cara perubatan tradisional dengan menggunakan bomoh kampung) akhirnya orang tersebut sembuh.

"Kita masih yakin yang batu ini masih lagi `berhantu' kerana itu orang yang tidak dikenali yang datang ke tempat itu boleh ditimpa sakit andai ada yang bermulut celupar dan bercakap takbur," ujarnya.

Katanya, satu perkara penting yang perlu diingat oleh pengunjung yang ingin datang melihat batu ini ialah jangan mencabar akan kemampuan batu itu dan tidak bermulut celupar."Perkara ini pernah dicuba, memang hal tersebut benar-benar berlaku," tambahnya.

"Untuk memasuki hutan ke tempat batu tersebut sahaja ada pantang-larang tertentu yang perlu dipatuhi. Nasihat kita...selain jangan celupar, jangan mengusik mereka(batu itu). Yang perlu mula-mula kita buat ialah kita boleh bercakap yang kedatangan kita dengan niat baik."

Rasukan Batu Rasak bukan terkena hanya ke atas seorang pengunjung sahaja malah seorang remaja juga pernah mengalami keadaan aneh yang sama selepas mengunjungi batu tersebut semasa menyertai program sosial anjuran jabatan belia.

Ditanya bagaimana perkara tersebut boleh berlaku Raini Piee, yang memegang jawatan sebagai Timbalan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung Penan Muslim berkata, "Seperti yang kita katakan tadi jangan bermulut celupar, padahnya begitulah musibah yang akan diterima".

"Apabila kita berubat cara biasa ternyata ia meleset, sehinggalah kita berikhtiar dengan satu cara lain iaitu meletakkan makanan disatu lubang pada batu itu, akhirnya remaja tersebut sembuh." Ujarnya.

Katanya, "perkara itu memang sukar dipercayai tetapi ia memang benar-benar berlaku"."Kita meletakkan makanan seperti ayam (dimasak) diatas batu berkenaan seperti yang dibuat pada Pesta Kaul di bapak Kaul membawa makanan untuk dijamu kepada penunggu laut.

"Bila makanan itu telah diletak pada tempatnya (lubang batu), kita membiarkannya di situ dan kemudian datang semula ke tempat tersebut untuk melihat, kita mendapati makanan itu benar-benar hilang ditempatnya," ujarnya sambil menjelaskan kemujaraban ikhtiar yang mereka buat apabila hendak merawat pesakit yang kena rasuk.

"Menjamu makanan pada batu tersebut bukan hanya khusus ditetapkan pada waktu-waktu tertentu tetapi lebih kepada cara mengubati pesakit yang terkena rasukan batu Rasak."

"Kejadian lain yang berlaku juga, ketika seorang penduduk kampung mengambil gambar batu berkenaan, gambarnya (yang dirakamkan) tidak menjadi," ujarnya lagi.

Sementara itu John yang menceritakan lebih mendalam keadaan batu itu berkata, ada pelbagai keadaan rupa mereka yang menjadi batu Rasak.

"Ada yang jadi batu berdiri, ada yang duduk. Seperti yang saya ceritakan tadi, itulah asal nenek moyang kami. Salah cakap sikit, terus jadi batu".

"Awak boleh lihat sendiri Bukit Sepadok asalnya adalah antara manusia dengan anjing."Orang ini memancing bersama anjingnya, entah macam mana terus menjadi batu apabila hujan turun dengan lebat. Dulu batu tersebut (di Bukit Sepadok) `berbisa' (ada kuasa untuk mendatangkan penyakit), tapi sekarang entah macam mana samada ia masih menyimpan `bisa' itu atau tidak," katanya.

Benda pelik-pelik semacam itu, katanya kita sendiri tidak berani menghampirinya, malah kita yang duduk di sini serta penduduk di sini membiarkan sahaja batu di kawasan hutan itu terbiar dan takut untuk mengusiknya, melainkan ada tujuan khusus membawa mereka yang ingin melihat secara lebih dekat ke tempat batu itu tersimpan. "Lagipun memang jarang orang pergi ke kawasan batu tersebut," ujarnya.

Kisah kaum Penan yang jadi batu ini tidak begitu popular namun John mengakui "Kewujudan batu itu membuktikan akan kehadiran Penan di sini yang merupakan Penan asli dan yang asal mendiami di sini. Kita juga bukan orang luar kerana datuk-nenek kita telah menetap lama di sini. Namun kita tidak pasti dari mana asal sebenar Penan, sehingga boleh sampai ke sini".

"Setelah sejarah demi sejarah berlalu, nenek moyang kita yang terselamat dari sumpahan menjadi batu itu akhirnya mendirikan sebuah kampung di sini (Kampung Penan).

"Kita meneruskan tradisi untuk meneruskan usaha mengekalkan kampung ini bersama penduduk yang lain supaya sejarah kampung ini tidak dilupakan," katanya.

Melihat kepada kedudukan batu-batu itu katanya, batu yang terdapat di hutan ini banyak bertaburan kerana kejadian sumpahan itu melibatkan banyak orang jadi ada batu berbentuk kecil dan besar.

"Mereka yang terkena sumpahan ini seperti dibungkus dengan batu, mereka tidak dapat lari. Raja mereka masih duduk macam itu," katanya menunjukkan batu yang paling besar di kawasan tersebut.

Nama sungai yang dikenali sebagai sungai Megang atau Sepegang ini juga katanya, "adalah nama bini kepada raja yang jadi batu itu. Orang kata bini raja tersebut berhantu kadang-kadang dia boleh dilihat kadang-kadang tidak (halimunan)".

Sebagai satu sejarah turun-menurun yang dipegang oleh kaum mereka dan asal-usul tempat Penan,ada yang menyarankan nama kampung itu ditukar namun John menegaskan, "kita tidak mahu menukar nama kampung kita ini kepada nama lain disebabkan kita ingin mengingati tempat asal kita".

Ditanya mengenai terdapat juga kaum Penan yang menetap di tempat lain, katanya kemungkinan Penan dari tempat ini telah berhijrah keluar ke tempat lain.

John Bin Kelat, yang merupakan generasi ke-12 menjadi ketua dan telah pun dua tahun memegang jawatan tersebut di kampung Penan Muslim amat yakin bahawa batu itu sememangnya berasal dari manusia dan kaum mereka.

"Ia memang kepercayaan kita dari generasi ke generasi sejak generasi pertama lagi diperturunkan ke generasi yang seterusnya mengenai kewujudan batu Rasak dan kampung ini."Ia begitu sinonim dengan kepercayaan kita dan kewujudan kampung di sini," katanya lagi.

Mengimbas kembali kehidupan masa lampau kaum Penan John berkata, "Sememangnya dahulu keadaan hidup kaum Penan amat daif. Tidak berumah. Tidur beratapkan langit. Tidak berseluar, memakai pakaian hanya berdaun pokok dengan menutupi alat sulit mereka sahaja," . "Keperluan seperti garam pun tidak dimiliki oleh mereka. Mereka hanya memakan apa sahaja binatang yang ada di dalam hutan tanpa bergaram," tambahnya lagi.

Siri 3

Perkembangan Islam dan Pembangunan di Kampung Penan Muslim

Setelah lebih beratus-ratus tahun keturunan Penan tinggal di kawasan Bintulu, kini populasi penduduk Penan telah bertambah dan berkembang menjadi sebuah kampung yang besar berikutan berlaku perkahwinan campur dengan kaum-kaum lain di sini.

Apa yang diketahui menurut dari cerita ketua kampung John Bin Kelat, rumah di kampung tersebut telah bertambah banyak iaitu daripada 33 buah rumah dan dengan didiami oleh 130 penduduk, kepada 213 buah rumah dengan 530 penduduk.

Taraf dan gaya hidup juga turut telah mengalami tranformasi baru sejajar dengan peredaran zaman. Namun satu perkara utama yang dilupakan oleh kebanyakkan generasi baru kaum Penan seperti yang diakui oleh ketua kampung ialah `lupa akan bahasa' ibunda.

Generasi baru diakui tidak pandai menggunakan bahasa ibunda, malah lebih senang berbahasa Melayu Sarawak yang mungkin juga didasari perkahwinan campur antara pelbagai kaum antara Penan dan kaum-kaum lain di sini.Begitupun perkembangan Islam mendapat maklum-balas yang positif daripada kaum-kaum ini dengan bantuan pengajar-pengajaran ajaran Islam dari Jabatan Agama Islam di sini.

"Penan di sini telah beranak-beranak...ada yang kahwin dengan orang Melanau. Ada kahwin dengan orang Iban masuk Melayu, dengan Dayak serta kahwin campur dengan banyak bangsa."Kaum Penan tidaklah ramai. Dahulu mereka (Penan) tidak mempunyai rumah. Mereka hanya mengambil daun kelapa sebagai tempat berlindung. Malah mereka juga tidak pandai bina rumah.

"Sekarang ini, Penan telah berubah dan telah mengikut cara dan adat resam Melayu, daripada tidak beragama, Penan sekarang telah memeluk Islam. Gaya pun telah berubah mengikut perubahan zaman," ujar John.

Malah perubahan itu turut berlaku kepada anak-anak kaum Penan sekarang."Anak kami tidak ingat lagi pertuturan (dialek) kaum Penan. Mereka telah lupa bahasa Penan dah kebiasaannya lebih selesa bercakap dalam dialek Melayu (Sarawak). Selain itu, masa belajar mengaji pun sudah biasa bertutur melayu.

"Yang masih ingat dengan percakapan (dialek) Penan adalah orang-orang lama dan orang tua Penan," jelasnya.

Dari segi perkembangan Islam di kampung tersebut, ia menunjukkan maklum-balas yang positif seperti yang diceritakan oleh John kepada penulis sendiri."Kita belajar dalam agama (Islam) daripada Ustaz-ustaz dari Jabatan Agama Islam seperti Ustaz Wan Sulaiman, Ust Kamaruddin dan Hj Wan Bujang. Malah mereka sendiri turut datang mengajar di tempat kita.

"Kita mengikut perlahan-lahan cara pengajaran mereka. Kini seperti yang dilihat, Islam di kampung ini semakin berkembang (dalam pengajarannya)," akui John.

Kini kampung Penan Muslim Batu 10 ini telah didaftarkan sebagai sebuah kampung yang sah oleh kerajaan seperti juga kampung-kampung lain di negeri ini dan akan terus berkembang menjadi sebuah kampung yang besar dan membangun pada masa akan datang.

Pembangunan-pembangunan yang diberikan oleh kerajaan pusat untuk kampung ini terdiri daripada kemudahan asas seperti jalan raya, Surau, Balai Raya, Pusat Sumber untuk Sekolah Tadika Hikmah, Kelas Kemas dan Perpustakaan. Walaupun kemudahan tidak begitu serba lengkap sepenuhnya namun ia dilihat memberikan kemudahan yang terbaik untuk penduduk di kampung tersebut.

John berkata, "masih terdapat lebih 50 buah rumah di kampung tersebut belum menerima kemudahan bekalan elektrik dan air"."Kalau boleh, kita ingin mendapatkan lagi peruntukkan daripada kerajaan untuk memperlengkapkan kemudahan asas di kampung ini," ujarnya.

Begitupun John menjelaskan, "walaupun tidak menerima kemudahan yang mencukupi, namun kampung kita telah menerima peruntukkan daripada Ahli Parlimen Bintulu, Dato' Seri Tiong King Sing sebanyak RM3,000 untuk surau dan RM10,000 lagi dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk tujuan pengubah-suaian Surau di kampung ini."

"Di kampung Penan juga telah diwujudkan Pusat Sumber iaitu satu daripada projek bersepadu di bawah kendalian Jabatan Residen Bintulu.

"Kita bersyukur kerana kampung ini telah mengalami banyak perubahan dari segi pembangunan sejak dari tahun 1992 lagi dan kita amat berterima kasih kepada kerajaan termasuk Ahli Parlimen di sini kerana memberikan peruntukkan bantuan tersebut," tambahnya.

Mengenai dengan peluang kerja anak-anak kampung Penan di sini katanya, "kita berharap peluang kerja dapat diberikan kepada anak-anak kita di sini supaya anak-anak di kampung ini tidak terabai dan mendapat kerja yang sewajarnya agar dapat menyumbang sama-sama dalam pembangunan di kampung ini dan negeri ini.

Selain itu, John turut meminta agar dapat di bina sebuah Klinik dan Sekolah Rendah di kampung Penan tersebut bagi memberikan kemudahan untuk penduduk setempat menyekolahkan anak-anak agar lebih dekat dan bagi Klinik pula akan memberi kebaikan kepada kita dari segi khidmat perubatan dan rawatan dengan segera sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

Anak buahnya Raini Piee pula turut menyatakan, walaupun kampung mereka mempunyai perpustakaan desa namun masih kekurangan almari untuk menyimpan buku-buku di perpustakaan tersebut.Katanya, kemudahan asas lain yang masih kurang di kampung tersebut ialah bekalan elektrik dan air serta lampu jalan, selain padang bola sepak.

Justeru untuk mengetahui akar generasi pelopor yang memegang tampuk ketua bagi kaum Penan Batu 10 sehingga wujud kampung yang dapat kita lihat sekarang berikut merupakan salasilah senarai mereka. Ia dimulai dengan Ketua Kampung 1- Rasak selepas kejadian ketua pertama menjadi batu akibat sumpahan, jawatan ketua itu seterusnya dipegang oleh adiknya Melut sebagai Ketua Kampung 2 dan diikuti oleh Lua sebagai Ketua Kampung 3.

Bagaimanapun disebabkan Lua tidak mempunyai anak, jawatan ketua kampung 4 telah diberikan kepada anak ketua Kampung 2 Melut iaitu Mawing sebagai pemangku sebelum diserahkan kepada anaknya Salus anak Mawing sebagai Ketua Kampung 4 kemudian diberikan kepada abang beliau Sukang anak Mawing sebagai ketua Kampung 5.

Jawatan itu kemudiannya diserahkan kembali kepada anak Salus iaitu Madang Bin Salus untuk menjadi Ketua Kampung 6 dan seterusnya kepada adik-beradik keduanya Kelibai Bin Salus untuk menjadi Ketua Kampung 7.

Jawatan ketua itu turut dipegang oleh Miring Bin Sukang sebelum diserahkan secara sah kepada beradiknya Saat Bin Sukang sebagai Ketua Kampung 8, kemudian diserahkan kembali jawatan itu kepada Saidi Bin Begong sebagai Ketua Kampung 9 seterusnya kepada Meli Bin Sunjai menjadi Ketua Kampung 10 dan kemudian diserahkan kembali jawatan itu kepada anak Miring, Piee Bin Miring sebagai Ketua Kampung 11 dan generasi hari ini yang memegang jawatan tersebut ialah John Bin Kelat iaitu anak kepada kakak ketua kampung Piee Bin Miring (ayah kepada Raini Piee).

John sendiri mengakui yang salasilah jawatan itu berkembang dan berkisar sekitar keluarga dari keturunan Rasak dan berpusing-pusing dalam lingkungan keluarga tersebut sehingga ke hari inidan kewujudan `Bin' dan `Anak' pada nama ketua-ketua di kampung tersebut adalah berdasarkan kepada perkahwinan campur antara Penan dengan kaum-kaum lain sehingga lahirlah generasi Penanyang ada sekarang.

Kini ketua kampung ke-12 ini boleh tersenyum bangga kerana, perkampungan Penan kini semakin membangun dengan corak hidup yang berbeza berbanding sebelumnya, dan kebanyakkan penduduknya pun ramai yg memeluk islam..


相关文章