Apabila tiba masa penggantian tayar motorsikal kita, selalu kita terfikir apakah brand dan saiz kelebaran yang kita mahukan.
Kadangkala ada orang cakap," Tukar la tayar lagi lebar. Koner sedap woo..". Ataupun ada juga yang cakap," Alaa.. Pakai saiz standard je bro. Koner lagi best". Sejauh manakah kebenaran cadangan itu? Apakah itu hanya kesan psikologi sahaja terhadap kita? Apakah pilihan anda?
Untuk entri kali ini, saya akan cuba ketengahkan apakah kelebaran serta profil tayar mempengaruhi cara tunggangan dan kawalan sesebuah motorsikal. Tapi sebelum itu, kita tengok dulu apakah maksud-maksud simbol, huruf serta angka yang terdapat pada dinding tayar. Pernahkah anda terfikir tentang simbol, huruf serta angka tersebut? Inilah sedikit sebanyak info tentang tayar.
Contoh simbol yang terdapat pada tayar motorsikal
Jadi, kita ambil contoh ianya adalah 180/55 ZR 17 M/C (73W) TL. Apakah maksud-maksud yang ada disebalik angka-angka tersebut?
180 - Bermaksud nilai kelebaran sesebuah tayar dalam ukuran milimeter. Ukuran ini adalah ukuran jarak tepi kiri dan kanan yang paling lebar.
55 - Bermaksud nisbah ketinggian tayar kepada kelebaran dalam nilai peratus. Jadi, angka-angka di atas menunjukkan ketebalan tayar adalah 55% dari 180mm iaitu 99mm.
Z - Bermaksud had kelajuan untuk sesebuah tayar. Maksud huruf Z disini adalah tayar ini sesuai digunakan untuk kelajuan melebihi 240kmj. Di bawah ini ada disertakan maksud huruf-huruf lain dengan nilai yang berbeza.
R - Bermaksud binaan tayar tersebut iaitu jenis Radial. Kalau tiada tulis R maka tayar itu adalah jenis Bias.
17 - Bermaksud saiz rim yang sesuai untuk tayar ini. Tayar ini hanya sesuai dipadankan dengan rim bersaiz 17 inci sahaja.
M/C - Bermaksud tayar ini sesuai digunakan untuk motorsikal.
73 - Bermaksud indeks beban maksimum tayar ini dapat tampung iaitu sehingga 365 kg sahaja. Untuk nilai yang lain boleh rujuk jadual.
Jadual indeks beban maksimum
W - Bermaksud kelajuan maksimum tayar tersebut dengan beban maksimum. Maknanya dengan beban 365 kg, tayar tersebut dapat digunakan tidak melebihi 270kmj.
TL - Bermaksud tayar tersebut adalah jenis tanpa tiub atau tubeless. Kalau TT pula bermaksud jenis menggunakan tiub atau tube type.
Pada dinding tayar juga terdapat tarikh tayar tersebut dibuat. Macam mana nak tahu tarikh tersebut? Pada dinding tayar ada dicetak empat nombor. Contohnya 4512. Untuk dua angka pertama, ianya menunjukkan minggu dan dua angka terakhir menunjukkan tahun. Jadi seandainya nombor itu adalah 4512, maka tayar itu dibuat pada minggu ke-45 pada tahun 2012.
Tayar ini dibuat pada minggu ke-19 dalam tahun 2010
Itu adalah sedikit sebanyak penerangan tentang simbol-simbol yang terdapat pada tayar. Sekurang-kurangnya ia akan memberi sedikit gambaran tentang tayar motorsikal kita. Tetapi, apakah kelebaran dan profil tayar memberi kesan kepada penunggang motorsikal? Apakah tayar lebih lebar tu lebih bagus?
Saiz 180 vs 190 (Lebih lebar lebih bagus?)
Baiklah, sekarang kita tumpukan pula pada topik kesan penggunaan tayar yang lebih lebar keatas cara tunggangan kita. Pemakaian tayar yang lebih lebar dari tayar asal sebenarnya tidak memberi kesan ketara seperti apa yang kita fikirkan. Saiz tayar yang paling bagus adalah yang mempunyai karakter atau profil yang paling hampir sama dengan tayar asal. Memang betul 'hukum ibu jari' menyatakan semakin lebar tayar motorsikal anda, semakin besar permukaan tayar yang menyentuh jalanraya. Tetapi kebenaran hukum tersebut hanyalah secara keseluruhan sahaja.
Inilah hasilnya bila tayar 190/50/17 dipasang pada rim bersaiz 5.5"x17 yang sesuai untuk tayar 180/55/17
Apabila kita memasang tayar yang lebih lebar (190) pada rim asal (5.5 "), kelebaran rim tetap tidak berubah. Tetapi, bentuk dan profil tayar sudah berubah. Bila ini berlaku, ianya boleh mengakibatkan kawalan motorsikal dan penggunaan tayar yang tidak normal. Hasilnya adalah profil tayar 190 tadi menjadi tidak seruncing profil tayar 180. Semakin runcing bentuk dan profil tayar, semakin senang nak rebahkan motor ketika mengambil selekoh.
Profil Tayar
Secara amnya, ketinggian tayar adalah menunjukkan profil tayar tersebut. Maknanya profil tayar 180/55/17 adalah lebih rendah berbanding profil tayar 180/60/17. Atau dengan kata lain, bentuk tayar 180/60/17 adalah lebih runcing berbanding tayar 180/55/17. Oleh itu, semakin runcing tayar, semakin senang kita rasa untuk mengambil selekoh.
Tayar runcing (profil tinggi) memberi lebih sentuhan permukaan tayar dengan jalan dan memberi cengkaman yang lebih ketika di selekoh. Tayar yang lebih runcing juga memberi lebih sudut korner dan kelajuan yang lebih tinggi ketika di selekoh tajam.
Tepuk dada tanya selera
Segala-galanya terletak di tangan anda. Terpulanglah kepada diri sendiri untuk membuat pilihan. Anda yang pilih, anda yang rasa dan motorpun anda yang punya. Seandainya anda berhasrat untuk menukar tayar kepada yang lebih lebar, pilihlah saiz rim yang sesuai dengan saiz tayar tersebut. Diharap semoga artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi input yang berguna kepada pembaca sekelian dan dapat dijadikan rujukan untuk kita semua. Jadi, tepuk dada, tanya selera.
-PokNik-
MasukGear