Miri: Dilarang memakai pakaian merah. Bahkan, apa-apa saja barang berwarna merah tidak boleh digunakan sama sekali.
Bunyinya memang pelik, tetapi benar.
Itulah kepercayaan tradisi etnik Berawan yang menetap berdekatan Tasik Loagan Bunut, dekat sini, yang sama sekali melarang suku kaum itu daripada memakai apa saja barangan berwarna merah di sekitar tasik berkenaan.
Bahkan, orang luar yang berkunjung ke kawasan itu pun disuruh mematuhi larangan itu, sekiranya ada berbuat demikian mereka akan dinasihatkan menukar pakaian berkenaan, atau membuang apa saja barang mewarna merah yang mereka miliki.
Foto
TASIK air tawar terbesar di Sarawak, Loagan Bunut menyimpan kisah silam tersendiri.
Bagi kaum Berawan, memakai barangan berwarna merah umpama sengaja menempah musibah kerana warna itu dianggap milik mutlak penunggu tasik berkenaan.
Meskipun pantang larang itu mungkin dianggap kuno, namun kepercayaan tradisi itu masih tebal dalam masyarakat yang tergolong dalam suku kaum Orang Ulu sehingga sekarang.
Seorang penduduk dari Rumah Panjang Logan Bunut, Jau Ajang, 70, berkata, mereka percaya sesiapa yang memakai pakaian dan barang berwarna merah akan ditimpa petaka, bahkan ia boleh membawa maut akibat kemurkaan penunggu tasik berkenaan.
Katanya, kira-kira 10 tahun lalu penduduk di rumah panjang itu pernah dikejutkan dengan kematian seorang lelaki yang menjelajah tasik itu akibat melanggar pantang larang berkenaan.
「Kami (penduduk kampung) sudah tegur jangan pakai baju merah, tetapi lelaki itu degil.
Masa itu, lelaki berkenaan mengikuti rombongan satu kumpulan ekspedisi menaiki bot menjelajah seluruh kawasan tasik.
「Selepas ekspedisi berakhir, kami diberitahu lelaki itu tiba-tiba diserang demam panas yang teruk dan meninggal dunia esoknya,」 katanya.
Menurut Jau, jika ada perkara buruk berlaku seperti bot karam, sesat di dalam hutan atau kejadian buruk menimpa keluarga, ia lazimnya dikaitkan dengan perlanggaran pantang larang terbabit.
「Jadi, lebih baik jangan langgar (pantang), atau jangan pakai baju.
Orang luar yang datang ke sini (Loagan Bunut) pun kena ikut pantang larang ini.
「Tidak kira tua atau muda, kami ikut pantang larang ini.
Jangan main-main, sudah ramai yang sakit, malah ada yang mati sebab melanggarnya,」 katanya.
Jirannya, Jalin Luta, 56, berkata, orang tua dulu bercerita kononnya penunggu tasik bermata merah sering kelihatan antara Pulau Bukit Tengah, Sungai Bunut serta Sungai Buran di kawasan berkenaan.
「Warna merah itu milik penunggu berkenaan, orang lain tak boleh pakai.
Namun, ia hanya dilarang apabila seseorang itu berada di tasik berkenaan,」 katanya.
「Begitu juga kalau pergi berburu di hutan dekat tasik itu, kami ditegah menggunakan berpakaian merah khuatir ditimpa musibah,」 katanya.
Masyarakat kaum Berawan di Sarawak lazimnya mendiami kawasan perkampungan yang terletak berdekatan Tasik Loagan Bunut, selain Taman Negara Mulu di sini.
Tasik Loagan Bunut berkeluasan kira-kira 65 hektar dan terletak lebih kurang 120 kilometer dari bandar raya Miri dan menjadi taman negara ke-10 di Sarawak yang diwartakan pada 1 Julai 1990.