Bujang Pagan jadi tarikan penduduk Saratok

@ 2015-12-21

FOKUS: Beberapa pengunjung ingin menyaksikan sendiri buaya sering muncul di Sungai Pagan.

BESAR: Bujang Pagan menghampiri sisa makanan dibuang oleh penduduk.

SARATOK: Dipanggil dengan jolokan Bujang Pagan, seekor buaya sepanjang lima meter dan lebar empat kaki menarik perhatian penduduk setempat selepas kerap muncul di Sungai Pagan sejak beberapa bulan lepas.

Keadaan ini menjadi luar biasa kerana kehadiran Bujang Pagan menjadi salah satu daya tarikan penduduk setempat mahupun luar Saratok apabila ia timbul setiap petang mencari makanan daripada sampah dan sisa makanan buangan penduduk.

Salah seorang penduduk, Amir Sabli, 42, berkata, setiap petang sekitar jam 4 hingga 6 petang, muara Sungai Pagan dipenuhi pengunjung yang ingin melihat dengan mata dan kepala sendiri buaya memakan sisa makanan dibuang penduduk di lokasi berkenaan.

「Sungai Pagan kini telah menjadi tumpuan kerana setiap petang ramai akan datang untuk melihat kemunculan reptilia ini.

「Bujang Pagan gemar timbul di situ kerana lokasi itu jadi tempat buangan sampah dan sisa makanan penduduk di sini,」 katanya ketika ditemui media di sini, semalam.

Amir memberitahu, buaya tersebut semakin kerap timbul di permukaan air malah suka mendedah diri sejak akhir-akhir ini.

Jelasnya, keadaan ini mungkin kerana Bujang Pagan terdesak mencari makanan akibat kekurangan sumber di perairan.

Buaya itu dikatakan semakin kerap timbul di situ terutamanya ketika air pasang.

Lebih menarik perhatian penduduk, Bujang Pagan tidak sendirian kerana ada seekor buaya lain sepanjang tiga meter juga kerap muncul di sungai berkenaan.

Ini menjadikan lokasi ini seakan-akan pesta apabila ramai yang datang setiap petang menunggu Bujang Pagan dan temannya muncul.

Katanya,walaupun kedua-dua reptilia tersebut sudah lama wujud di situ, namun sehingga kini tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan orang kampung tidak pernah mengganggu habitat buaya tersebut.

「Walaupun begitu, buaya ini hanya akan muncul jika lapar dan untuk makan di tempat pembuangan ini,」 katanya.

Sementara itu, menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Man, buaya itu kerap muncul kerana tindakan sesetengah penduduk suka membuang bangkai haiwan peliharaan mereka di situ.

「Beberapa bulan lepas, seorang peniaga ayam kerap kali membuang bangkai ayam ternakan yang mati di sini. Kita percaya, mulai saat itu buaya kerap kali muncul di kawasan ini,」 jelasnya.

Lebih pelik kata Man, ada sesetengah pengunjung sengaja membawa makanan seperti daging dan ayam untuk mengumpan Bujang Pagan muncul di situ.

Bagaimanapun, amaran wajar dikeluar kepada penduduk di situ termasuk larangan keras mengumpan buaya untuk timbul di permukaan kerana dibimbangi sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pada masa yang sama, pengunjung termasuk kaki pancing harus dinasihat supaya tidak berada terlalu dekat dengan tebingan sungai berkenaan untuk tujuan keselamatan.


相关文章