Duit tak ada, macam mana nak balik

@ 2015-12-08

BATU KURAU - Penantian lebih empat dekad seorang abang untuk melihat wajah satu-satunya saudara kandung yang masih hidup, berakhir apabila mereka dipertemukan buat pertama kali setelah terpisah hampir 44 tahun.

Detik pertemuan antara Hasan, 74, dan Yahya Ahmad, 70, yang diatur jam 10 pagi di Arena Batu Kurau, di sini, mengundang suasana pilu dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk tempatan, terutama apabila Hasan yang setia menanti sejak jam 8.30 pagi terus menerpa memeluk adiknya.

Hasan yang sebelum ini kelihatan tenang tidak dapat menahan air mata sebaik melihat kelibat Yahya. Hanya pelukan dan ciuman yang terluah bagi menggambarkan kegembiraan.

Yahya ketika ditemui di kediaman Hasan di Kampung Changkat Lobak, berkata, tidak pernah sekalipun dia melupakan ahli keluarga dan kampung halaman.

Cumanya, dia yang bekerja di ladang kelapa sawit di Tawau, Sabah suatu ketika dahulu, tidak mempunyai wang yang cukup, meskipun perasaan membuak untuk pulang setiap kali cuti.

「Duit tak ada, kalau ada pun tak cukup, macam mana saya nak balik, nak hubungi keluarga pun saya tak tahu jalannya,」 katanya.

Yahya dikenali penduduk kampung dengan panggilan Hadi berkata, sejak beberapa tahun ini, dia kerap bermimpikan Hasan menjadikannya nekad untuk pulang.

「Bukan sekali, tapi dah banyak kali mimpi dia. Rasa rindu sangat nak jumpa,」 katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu sebelum ini hilang tanpa khabar berita setelah berhijrah ke Sabah ketika berusia 26 tahun untuk bekerja.

Sejak itu, usaha Hasan menjejaki Yahya menemui jalan buntu sehinggalah permintaannya pulang ke kampung kelahiran di Batu Kurau yang disertai sekeping gambar dan Mykad, menjadi viral di laman sosial Facebook, pertengahan bulan lepas.

Usaha kemudiannya digerakkan Adun Baru Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan Tawau untuk membawa pulang Yahya.

Kepulangan Yahya diiringi anak bongsunya, Mohd Nor Hijratulla, 23, yang tiba di Taiping, 11 malam, kelmarin.

Yahya berkata, dia akan menghabiskan beberapa hari, di sini sebagai pengganti tempoh bertahun yang hilang bersama abangnya.

Katanya, keadaan kampungnya sudah banyak berubah, namun ketika melintasi laluan dari Arena Batu Kurau ke Kampung Changkat Lobak sepanjang dua kilometer itu, dia masih dapat mengingati tempat permainannya dahulu.

「Banyak yang saya nak cerita dengan abang. Lepas dah jumpa semua saudara dan kawan, saya akan pulang semula ke Tawau.

「Masih banyak urusan perlu diselesaikan, kalau semuanya dah selesai mungkin saya akan kembali lagi ke sini, mungkin untuk terus menetap di sini,」 katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara 30 hingga 23 tahun.

Berdebar untuk bertemu

Hasan hanya tersenyum ketika diajukan soalan berhubung perasannya dalam pertemuan itu.

Dia dikatakan terlalu gembira hingga sesak nafas dan pening sebaik tiba di kediamannya.

Isterinya, Laila Abdullah, 64, berkata, sejak beberapa hari lalu, suaminya itu tidak berselera makan dan kurang tidur kerana berdebar dan teruja untuk bertemu Yahya.

「Semua perasaan dah bercampur baur, sedih, sebak, suka, teruja, hingga ada ketikanya tak tidur malam, sebab itu hari ni dia kurang sihat,」 katanya.

Anak sulungnya, Suffian, 34, berkata, sejak dahulu ayahnya memang mempunyai masalah jantung.

「Mungkin dia terlalu gembira dengan pertemuan ini, saya sebagai anak juga teruja kerana sejak kecil tak pernah tengok muka pakcik, gambar pun tak ada, bila jumpa berdepan macam ni, sampai tak tahu nak cakap apa,」 katanya.

Selalu cerita tentang keluarga

Sementara itu, Mohd Nor Hijratulla melahirkan rasa syukur bapanya dapat bertemu dengan bapa saudaranya itu.

Menurutnya, bapanya banyak kali menceritakan kepadanya mengenai kampung dan saudara mara di Perak sejak dia kecil lagi bagi mengingatkan asal usul mereka.

Dia pernah berniat membantu merealisasikan impian bapanya untuk pulang, namun kekangan wang menjadi penghalang.

「Sepanjang tiga jam perjalanan dari Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), ayah banyak berdiam, tapi saya tahu dia sebenarnya dah tak sabar.

「Ini juga pengalaman pertama kami menaiki kapal terbang. Ada juga perasaan gayat,」 katanya.

Dia sama sekali tidak menyangka, kepulangan mereka ini disambut dengan penuh meriah.

「Alhamdulillah, keluarga Pak Long (Hasan) menerima baik kehadiran kami. Terserah pada ayah berapa lama dia mahu bersama keluarga di kampung ini.

「Mungkin banyak kenangan mahu diimbau antara mereka dan pada masa sama, saya cuba mengenali sepupu dan saudara mara yang ada di sini,」 katanya.


相关文章