Ulasan KKM untuk syrup paracetamol yang mempunyai alkohol

@ 2015-10-14

Maklumat dipetik daripada kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

KENYATAAN AKBAR

ULASAN KE ATAS PRODUK PARACETAMOL SYRUP 120MG/5ML YANG MENGANDUNGI ALKOHOL

Ekoran maklumat yang tersebar di media sosial mengenai produk tersebut di atas yang dibekalkan oleh beberapa fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak Kementerian ingin memberikan penjelasan.

Pihak KKM telah menetapkan spesifikasi bahawa produk paracetamol syrup 120mg/5ml yang dibekalkan adalah tidak mengandungi alkohol. Penilaian yang dijalankan ke atas sampel yang dikemukakan semasa tawaran dibuat mendapati bahawa kandungan alkohol tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan produk. Justeru, tawaran telah diberikan kepada produk yang dikeluarkan oleh syarikat Royce Pharma Sdn Bhd untuk membekalkan produk tersebut ke beberapa fasiliti KKM.

Namun begitu, siasatan lanjut mendapati bahawa produk tersebut sebenarnya didapati mengandungi alkohol tetapi tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan. Syarikat telah didapati tidak mematuhi spesifikasi tawaran kerana gagal mematuhi pelabelan produk dan telah melanggar syarat pendaftaran. Pihak kementerian telah mengarahkan agar syarikat memanggil balik semua produk yang tidak meatuhisyarat labeldaripada pasaran dan fasiliti yang terlibat.

Walaubagaimanapun, ingin dimaklumkan bahawa produk tersebut telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan didapati mematuhi kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Orang awam tidak perlu bimbang kerana walaupun ia mengandungi alkohol dalam had yang dibenarkan,tiada isu keselamatan yang dilaporkan.

Pengguna adalah dinasihatkan supaya sentiasa menyemak maklumat label dan sisip bungkusan produk dan memilih produk yang sesuai yang diperlukan. Pengguna bolah menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM menerusi talian telefon-1800886722 atau emel npcc@moh.gov.my untuk keterangan mengenai ubat-ubatan.

DATO EISAH BINTI A.RAHMAN

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi

Kementerian Kesihatan Malaysia

13 Oktober 2015

Maklumat dipetik daripada kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.


相关文章