Kriteria Kemasukan Murid Tingkatan 4 ke Aliran Sains PT3

@ 2015-09-26

KPM telah mengeluarkan Surat Siaran Bilangan 22 Untuk tahun 2014, bagi menjelaskan Kriteria kemasukan murid tingkatan 4 ke aliran Sains berdasarkan keputusan PT3. Surat siaran yang bertarikh 30 Disember 2014 tersebut, menyebutkan dengan jelas kriteria keputusan pelajar yang digalakkan untuk mengikuti kelas aliran Sains.

Dalam surat siaran tersebut, KPM menggariskan beberapa kriteria kemasukan murid tingkatan 4 ke aliran Sains. Secara ringkasnya,

1) murid yang mendapat sekurang-kurangnya gred B bagi Sains dan Matematik DIGALAKKAN memohon

2) murid yang mendapat gabungan A/C, B/C atau C/C bagi subjek Sains dan Matematik, mendapat sekurang-kurangnya Band 4 dalam Pentaksiran Sekolah bagi kedua-dua subjek, serta berminat untuk aliran Sains berdasarkan keputusan Ujian Psikometrik

3) Kes Khas : murid yang mendapat gabungan A/D, B/D atau C/D bagi subjek Sains dan Matematik, mendapat sekurang-kurangnya Band 4 dalam Pentaksiran Sekolah bagi kedua-dua subjek, serta berminat untuk aliran Sains berdasarkan keputusan Ujian Psikometrik

4) murid yang mendapat E bagi mana-mana subjek Sains atau Matematik TIDAK DIGALAKKANmengikuti aliran Sains di Tingkatan 4.

5 Tips Memilih Aliran Yang Sesuai Untuk Pelajar PT3 Semasa di Tingkatan 4

KPM juga dalam kenyataan akhbar berhubung isu pemilihan aliran semasa di tingkatan 4 ini juga menegaskan bahawa

...Keputusan PT3 juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh dan ke aliran sains atau sastera. Pemilihan ke aliran tersebut dibuat bukan sahaja berdasarkan keputusan PT3, tetapi juga mengambilkira pelaporan keempat-empat komponen PBS.... ...Murid-murid Tingkatan 3 yang menduduki PT3 mulai tahun ini telah ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)....

Masalah pemilihan aliran yang sesuai ini juga tambah merumitkan apabila keputusan PT3 antara setiap sekolah juga tak dapat dibandingkan memandangkan penggunaan soalan yang berbeza.

Justeru itu, penilaian yang tepat adalah penting bagi menentukan hala tuju yang terbaik bagi pemilihan aliran yang sesuai. Pemilihan aliran yang sesuai juga dapat menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk pelajar.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh digunakan oleh ibubapa dan pelajar PT3 dalam menentukan aliran yang sesuai semasa di tingkatan 4 nanti.

1. Pencapaian

Keputusan PT3 boleh digunakan sebagai kayu ukur pencapaian pelajar, terutamanya bagi yang berhajat nak ke aliran Sains. Pencapaian bagi subjek seperti Sains dan Matematik harus diberi perhatian memandangkan lebih banyak "Sains dan Matematik" yang akan anda pelajari semasa di aliran Sains nanti. Ada banyak lagi faktor yang mempengaruhi. Namun sekurang-kurangnya ini adalah indikator awal yang membolehkan atau membataskan pencapaian akademik anda semasa di tingkatan 4 kelak.

Pencapaian yang baik, tak bererti anda boleh buat dengan baik dalam aliran Sains dan juga pencapaian yang kurang memuaskan, tak bererti anda tak boleh buat dengan baik dalam aliran Sains.

2. Kemampuan

Selain daripada pencapaian PT3, perlu juga ada muhasabah diri menilai kemampuan belajar bagi 2 subjek tadi, iaitu Sains dan Matematik. Jika pada kebiasaannya, anda mengalami kesukaran untuk belajar dan juga mendapat markah yang kurang memuaskan, maka anda perlu pertimbangkan dengan sebaiknya jika ingin meneruskan minat dalam aliran Sains. Bimbang tak terbawa pulak bebannya nanti.

Jangan perasan. Sebaliknya nilai diri anda dengan sebaik mungkin. InshaAllah percaturan anda nanti akan jadi satu percaturan yang terbaik. InshaAllah.

3. Minat

Pemilihan aliran juga boleh didasarkan kepada minat anda terhadap bidang tertentu. Bak kata orang, bila ada minat, semua pun boleh jadi. Namun jika nak ikut minat, perlu utamakan juga Pencapaian dan Kemampuan anda dalam subjek berkenaan. Minat saja tak cukup. Nanti anda pula yang kesusahan dan terpaksa berendam air mata dengan keputusan yang teruk semasa SPM nanti.

Minat dalam aliran Sains atau sastera juga boleh ditentukan melalui Ujian Psikometrik yang dijalankan oleh pihak Unit Bimbingan dan Kaunseling. Boleh rujuk guru kaunseling sekolah bagi memastikan kecenderungan minat dan bakat anda.

4. Tanya

Pendapat peribadi saya, dengan sistem PT3 sekarang, jalan terbaik adalah dengan rujuk terus kepada guru Sains dan Matematik anda sama ada anda benar-benar layak untuk mengikuti aliran Sains. Ini kerana, hanya guru Sains dan Matematik anda sahaja yang benar-benar tahu kemampuan dan juga keupayaan anda dalam aliran Sains.

Jadikan pendapat mereka sebagai satu lagi pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh anda semasa memilih. Baka kata pepatah, "sekilas ikan di air, dah tahu jantan, dah tahu betinanya.."

5. Istikharah

Tips terakhir sekali adalah selepas melakukan semua tips-tips di atas, maka wajarlah jika kita memohon pertolongan dari Yang Maha Esa semoga diberi petunjuk untuk pilihan yang terbaik untuk kita. Usaha akhir ini juga merupakan satu lagi ikhtiar terbaik bagi kita yang berada dalam dilema. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Memiliki Segalanya.

Kepada pelajar PT3 dan ibubapa yang prihatin, buatlah pilihan yang TEPAT semasa memilih aliran Sains atau Sastera. Ini kerana pemilihan aliran yang betul akan memastikan masa depan yang cemerlang buat pelajar semasa Tingkatan 4 dan sekaligus semasa SPM nanti. Manakala pemilihan aliran yang salah pula pasti akan memberi satu bencana buat mereka.


相关文章