Hari ini saya nak tulis satu artikel berkaitan kewangan yang lebih khusus kepada anda yang kerja kerajaan iaitu nak pilih yang mana satu di antara Skim Pencen mahupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pilih Satu Di Antara Dua
Salah satu skim di atas perlu dipilih, kebiasaannya semasa hendak mengesahkan jawatan dan tidak boleh ditukar apabila satu keputusan telah dibuat.
Bermaksud, ia adalah satu keputusan yang amat penting perlu dibuat kerana ia menentukan apa yang akan terjadi pada sebahagian wang gaji anda pada masa ini dan juga pada umur pencen nanti. Tersalah pilih, nanti anda akan rasa menyesal.
Apa-apapun, satu pilihan tetap perlu dibuat untuk diri sendiri. Bagaimana nak pilih?
Nasihat Yang Biasa Didengari
Saya tahu, ramai akan kata, nak pilih skim ini bergantung pada perancangan seseorang, kalau nak stay lama di government, Skim pencen adalah lebih baik, manakala kalau nak quit goverment lebih awal dan bekerja di sektor swasta, pilihlah Skim KWSP.
Itu adalah nasihat biasa dan saya pun tak berapa nampak signifikannya atau manfaat-manfaat di sebalik nasihat ringkas seperti itu dari aspek perancangan kewangan. Ironinya, ramai orang Melayu memilih Skim Pencen manakala bukan Bumiputera cenderung untuk memilihi skim KWSP.
Perbezaan Skim Pencen & Skim KWSP
Sebelum itu, adakah anda tahu apakah perbezaan Skim Pencen dan Skim KWSP ini? Berikan saya peluang untuk menerangkan apa yang saya faham berkenaan 2 skim ini. Saya start dengan Skim KWSP dulu:
1. Skim KWSP adalah satu skim yang akan menolak sejumlah wang gaji anda setiap bulan sebanyak 11% dicampur dengan caruman daripada pihak majikan sebanyak 13% sehinggalah ke umur anda yang ke 55 tahun. Bentuk simpanan yang hebat dan berterusan setiap bulan dan tahun ini boleh membuatkan anda mendapat sejumlah wang yang amat banyak secara 'lump sum' di akhir umur persaraan anda nanti.
2. Skim Pencen pula adalah satu skim di mana wang gaji anda tidak dipotong setiap bulan. Dan di penghujung tempoh perkhidmatan anda iaitu pada umur 58 atau 60 (mengikut pilihan anda), anda akan menerima duit pencen iaitu separuh daripada jumlah gaji pokok terakhir anda. Contohnya kalau gaji pokok terakhir anda adalah RM5000, maka anda akan mendapat duit pencen RM2500 setiap bulan selepas pencen nanti.
Berdasarkan perbandingan di atas, skim yang mana satu kah lebih baik pada pandangan anda?
Pandangan Peribadi Saya
Saya bukanlah pakar, namun artikel ini adalah pandangan peribadi saya berkenaan perbandingan kedua-dua skim ini.
Skim KWSP akan menolak 11% daripada gaji total anda setiap bulan secara automatik dan boleh dilihat pada slip gaji.
Bermakna, katakan gaji total anda sebulan adalah RM4000, sebanyak RM440 akan ditolak daripada gaji anda setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun KWSP anda. RM440 tersebut akan dicampur dengan RM520 (13% caruman daripada pihak majikan anda), menjadikan keseluruhan RM960 yang akan masuk ke akaun KWSP anda setiap bulan.
Katakan anda mula bekerja pada umur 25 tahun dan bersara pada umuur 55 tahun, bermakna anda berkhidmat selama 30 tahun. Jadi, apabila RM960 di darab dengan 12 bulan (setahun), ia menjadi RM11,520. Apabila didarabkan dengan 30 tahun, ia akan menjadi RM345,600.
Mungkin terdapat sedikit faedah daripada simpanan ini, maka jumlah yang anda akan dapat adalah sekitar RM500,000. Atau jika gred gaji anda naik, mungkin paling banyak anda akan dapat RM750,000!
Kenapa Tidak Skim KWSP?
Daripada perkiraan di atas, saya dapat melihat beberapa masalah yang akan timbul jika Skim KWSP di pilih, iaitu:
1. Anda akan 'kehilangan' RM440 (atau lebih apabila setiap kali gaji naik) setiap bulan dan membuatkan anda perlu 'survive' dengan jumlah gaji yang lebih sedikit setiap bulan. Bayangkan komitmen sara hidup yang tinggi hari ini, pendapatan yang kecil akan membantutkan banyak perancangan anda.
2. Caruman 13% setiap bulan daripada pihak majikan adalah jumlah yang amat besar, namun, jika dikira-kira, anda tidak pun mencapai status jutawan pada umur persaraan.
Mungkin ada yang kata, boleh saja jadi jutawan kalau berstatus pegawai, kerana kenaikan gaji adalah banyak dan silap-silap, akaun KWSP akan mencecah jumlah RM satu juta!
Memang betul, tapi jika dilihat dari segi masa, dalam tempoh 30 tahun daripada sekarang, RM satu juta akan menjadi lebih kecil daripada sekarang kerana faktor inflasi. Jika jadi jutawan pada umur persaraan nanti pun, ia ibarat tiada guna kerana nilainya sudah menjadi kecil.
3. Wang simpanan dari akaun KWSP adalah bertujuan untuk membuat satu tabung wang yang boleh digunakan di hari tua (55 tahun ke atas). Namun hakikatnya, pada umur sedemikian, wang bukanlah kepentingan utama berbanding kesihatan.
Pada waktu itu, ada wang yang terlalu banyak pun tidak berguna, kerana ia tidak dapat dinikmati. Pada pendapat saya, wang yang banyak adalah perlu di waktu muda kerana komitmen dan keperluan adalah lebih tinggi.
4. Menerima sejumlah wang yang banyak memang seronok, tapi apabila ia digunakan, sekelip mata saja ia boleh dihabiskan. Keadaan ini dinamakan 'gelap mata'.
Katakan jumlah wang terkumpul di akaun KWSP anda pada umur persaraan ada sebanyak RM1,000,000, mungkin pada waktu itu anda ingin membeli rumah idaman, harganya mungkin sekitar RM900,000 ke RM1,000,000.
Jika anda beli rumah itu sebagai tempat kediaman anda, anda sudah hampir kehabisan ke semua wang yang anda ada dari akaun KWSP yang dikumpul sejak anda mula bekerja.
Kenapa Ya, Skim Pencen?
Sebaliknya, saya melihat Skim Pencen sebagai satu pilihan yang lebih baik kerana beberapa faktor.
1. Jika anda mengambil Skim Pencen, gaji bulanan anda tidak dipotong. Jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil Skim KWSP, anda mempunyai lebihan gaji bulanan RM440 setiap bulan.
Setahun anda mempunyai lebihan RM5280 berbanding mereka yang mengambil Skim KWSP. Setiap bulan, anda mempunyai lebih banyak wang tunai berbanding mereka yang mengambil Skim KWSP.
Adakah itu baik atau tidak? Anda perlu menjawabnya sendiri.
2. Jumlah wang yang tidak dipotong ke akaun KWSP itu boleh digunakan untuk perbelanjaan atau membayar komitmen-komitmen anda.
Namun, jika anda menggunakannya untuk berbelanja, ianya akan habis dan anda tidak memperolehi apa-apa manfaat kewangan. Lebih baik anda menyimpannya sendiri dan menyalurkannya ke dalam bentuk-bentuk pelaburan kewangan yang boleh menggandakan wang anda secara pasif dan berterusan.
3. Melalui Skim Pencen, anda akan menerima wang pencen selepas anda bersara nanti, iaitu separuh daripada gaji akhir anda untuk setiap bulan. Bermakna, jika gaji anda telah naik ke RM10k pada waktu itu, anda akan mendapat RM5k setiap bulan walaupun anda tidak lagi bekerja.
Walaupun pada waktu itu jumlah tersebut tidaklah banyak, tapi ia cukuplah untuk anda menjalani kehidupan asas seperti makan, bayar bil dan perubatan jika perlu.
4. Jika anda menggunakan lebihan wang setiap bulan yang anda ada tadi pada jalan pelaburan yang betul, anda akan menjana pendapatan pasif secara berterusan.
Bermakna, anda akan ada sekurang-kurangnya 2 sumber pendapatan apabila bersara nanti, iaitu duit pencen dan juga pendapatan pasif daripada pelaburan yang anda lakukan.
Pelaburan apa yang boleh memberikan pendapatan pasif? Jawapan saya sudah pastilah Pelaburan Hartanah. Tidak tahu macam mana nak buat? Sebab tu lah kena belajar, baca buku dan perlu bertanya kepada yang tahu.
Berikut adalah Perbandingan antara KWSP dan Pencen dari segi faedah dan ganjaran:
Kesimpulannya..
Jadi kesimpulannya, setiap orang ada matlamat pengurusan kewangan yang berbeza. Sudah pasti bukan semua orang bersetuju dengan pendapat saya berkenaan perbandingan Skim Pencen dan Skim KWSP di atas ini.
Namun apa yang nak saya tekankan adalah, dalam membuat keputusan yang melibatkan status kewangan anda, anda perlu mempunyai sebab yang kuat di sebalik setiap pilihan yang anda lakukan.
Pilihan anda mungkin berbeza dengan orang lain, tapi anda perlu tahu kenapa anda memilih keputusan berpandukan point-point yang nyata boleh dibentangkan oleh anda sendiri.
Jika anda sendiri ragu-ragu dengan pilihan anda, masa depan kewangan anda akan bergantung kepada skim yang anda pilih, dan bukan anda yang berkuasa menentukan status kewangan anda sendiri.
PERHATIAN:
Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan bahan-bahan atau info pendidikan bolehlah tekan butang LIKE untuk Join laman page Facebook baru kami, Sekian Terima Kasih...
Page kami : "BUMI PENDIDIKAN BARU"
https://www.facebook.com/pages/Bumi-Pendidikan-Baru/1464617713850296
ATAU sertai
FB group kami : "EduShare@Bumi Pendidikan"
https://www.facebook.com/groups/1490102444614501/