5 Tips Didik Anak Agar Berhenti Berbohong

@ 2016-07-30

Kalau ikut orang melayu kita, selalu sahaja kita terdengar ayat ini,

「Budak, mana pandai menipu!」

Tapi benarkah hakikat ini? Kalau anda merasakannya benar, cuba sahaja ingatkan zaman kanak-kanak anda dahulu. Benarkah anda tidak pernah menipu sesiapa sepanjang zaman kanak-kanak yang penuh kenakalan dahulu? Tidak kiralah apa sahaja sebab anda berbohong, tetapi pasti sahaja anda pernah dan tentulah yang paling terkenal dan kuat alasannya supaya tidak dirotan oleh bapa kita disebabkan kenakalan kita. Kan?

Dan, hakikat yang lebih menakjubkan sebenarnya adalah apabila kami mendapat tahu kenyataan daripada Kang Lee, seorang peyelidik dan pengarah Pusat Kajian Perkembangan Kanak-kanak di Institut Pendidikan Ontario. Beliau telah mengkaji perlakuan kanak-kanak selama 20 tahun berkata: 「Jika anda mendapati anak anda menipu buat pertama kali, anda patut meraikannya – bukan memarahinya!」

Anak Berbohong Menunjukkan Mindanya Berkembang

Ini kerana, ia menunjukkan kemajuan dalam perkembangan otak mereka. Sama keadaannya macam anak dah pandai berjalan atau pandai bercakap, 『pandai menipu』 sebenarnya adalah salah satu 『milestone』 juga tau!

Jadi, tingkat keupayaan otak anak-anak untuk menipu adalah lebih tinggi kerana mereka perlu mengambil kira faktor konsistensi, perasaan orang lain, dan mengawal perasaan diri sendiri.

Berbohong adalah sesuatu yang normal dalam diri kanak-kanak. Dipercayai lebih 80% kanak-kanak pandai menipu apabila mencecah umur 4 tahun. Ada yang selesa melakukannya tabiat, dan ada yang hanya menipu apabila dalam keadaan stres atau ingin menyelamatkan diri.

Walaupun anak suka berbohong ini dikira lebih『advanced』, namun kita sebagai ibu bapa tidak boleh membiarkan perangai ini berterusan.

Formula Hentikan Sikap Anak Suka Berbohong

Maka, mari lihat apa formula pakar untuk mengubah perangai anak suka berbohong.

1. 「Ignore The Lie, Not The Child」

Pernahkah anda mendengar ayat di atas? Ini adalah formula yang dikongsikan oleh Bryan Post, pakar terapi kanak-kanak dalam tajuk syarahannya 「Why Kids Lie And How To End It NOW!」

Beliau menggesa ibu bapa supaya tidak cepat melenting walaupun terang-terangan mereka mengetahui bahawa anak mereka menipu. Sebaliknya, bertenang dan abaikan penipuan tersebut terlebih dahulu.

2. Bercakap Dengan Anak Selepas 2-3 Jam

Selepas sekitar 2-3 jam daripada penipuannya tadi, cuba lalu di depan mereka dan katakan dengan lembut:

「Sayang, kamu tak apa-apa? Jangan risau, semuanya akan baik-baik saja.」

「Ibu mahu Abang tahu yang Abang boleh percayakan Ibu dan beritahu apa saja.」

Mengikut Bryan Post, ada kanak-kanak yang akan terus mengaku atau menangis apabila mereka dilayan sebegini kerana perasaan bersalah yang membuak-buak.

3. Tidak Menghukum Mereka Apabila Bercakap Benar

Bayangkanlah, kalau kali pertama mengaku bersalah terus dihukum, apakah perasaan mereka? Apakah yang mereka pelajari?

Anak-anak akan jadi takut dan tidak percaya pada ibu bapa sendiri. Malah, mereka akan cuba mengelak untuk memberitahu kita apa-apa perkara pada masa akan datang.

Yalah, kalau mengaku salah, tak mengaku pun salah. Baik tak payah beritahu apa-apa kan?

4. Jangan Mengungkit, Sedia Memaafkan

Secara tidak sedar, perlakuan kita akan memberi impak kepada penipuan mereka yang seterusnya.

Jika kita sentiasa mengungkit, ia seolah-olah kita tidak memaafkan dan bersangka buruk terhadap mereka.

Jadi, lepaskan perasaan negatif dan cuba dapatkan kepercayaan daripada si anak.

5. Mendoakan Anak

Sebagai ibu bapa, janganlah kita berputus asa dalam mendoakan yang terbaik untuk anak-anak.

Amalkan doa pelembut hati, dan carilah masa yang sesuai untuk menasihati mereka dengan baik, terutamanya selepas waktu solat atau selepas mandi.

Sebagai penutup, belajarlah untuk mempercayai mereka. Mungkin mereka ada melakukan kesilapan, dan salah satunya adalah pembohongan yang mereka lakukan. Tetapi jangan disebabkan itu, anda terus hilang kepercayaan terhadap mereka. Belajarlah untuk meletakkan kepercayaan dan mengharapkan mereka.


相关文章