Pasir Puteh: Setibanya Ramadan, Mohamad Lazim Jusoh, 59, terkenangkan anaknya yang masih dipenjarakan di Guangzhou, China, sejak sembilan tahun lalu.
Beliau berkata anak sulungnya itu Umi Azlim, 32, akan menjadi sibuk setiap kali Ramadan, apatah lagi menjelang Aidilfitri kerana menyiapkan kuih raya.
"Ia kegemarannya selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah," katanya di Kampung Cherang Tuli, di sini.
Pada 2007, Umi Azlim dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah China selepas didapati bersalah menyeludup lebih dua kilogram heroin ke negara itu. Namun hukuman tersebut diringankan kepada penjara seumur hidup.
Pada 2014, kerajaan China memaklumkan Umi Hazlim hanya perlu menjalani hukuman penjara sembilan tahun lagi.
Mohamad Lazim, pesara tentera berkata, kali terakhir beliau menerima panggilan telefon daripada Umi Azlim ialah dua bulan lalu untuk bertanya khabar dan dia sempat bercakap dengan adik-adiknya.
Menurutnya, dalam perbualan lima minit itu, anaknya sempat memberitahu kemungkinan akan dibebaskan tujuh tahun lagi kecuali diberi pengampunan oleh kerajaan China.
"Saya berdoa pada bulan yang penuh berkat ini agar anak saya diberi keampunan dan mendapat pembebasan lebih awal, insya-Allah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 9:07 PM
Mohamad Lazim bersama anak bongsunya Muhamad Azlimuslim, 18, menatap gambar Umi Azlim yang dipenjarakan di China sejak 2007. - Foto Bernama