Pinggir KL dilanda banjir lumpur, pokok tumbang Selanjutny

@ 2016-06-02

ANTARA kenderaan yang rosak ditimpa pokok tumbang akibat hujan lebat, petang tadi. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya empat buah kereta dilaporkan rosak akibat ditimpa pokok tumbang susulan hujan lebat dan angin kuat yang melanda sekitar ibu negara, petang tadi.

Beberapa laluan di pinggir ibu negara turut dilaporkan dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa. Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata setakat ini pihaknya menerima sekurang-kurang lima laporan kejadian pokok tumbang dan dua kejadian banjir lumpur. "Kita terima laporan kejadian pokok tumbang berlaku di Blok A-17 dan A-19 Seksyen 2, Wangsa Maju; di Jalan Genting Klang berhampiran Kem Wardieburn; Jalan Bidor dan di Jalan 5/56 AU 3, Keramat.

"Empat buah kereta dilaporkan rosak dalam kejadian itu dan pihak bomba bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membuat kerja-kerja mengalih pokok yang tumbang dan dahan yang patah," kata Samsol yang turut memaklumkan semua kejadian itu tidak membabitkan mangsa. Katanya, hujan lebat bermula sekitar jam 5 petang dan berlarutan hampir dua jam turut menyebabkan satu kejadian banjir lumpur dilaporkan berlaku di Jalan 1/56, AU 3 Keramat dekat sini. "Banjir lumpur turut dilaporkan berlaku di Jalan 84/26, Taman Seri Rampai, Setapak di sini yang menyebabkan kebanyakan rumah di situ dinaiki air lumpur sedalam kira-kira 0.3 meter.

"Difahamkan, ini adalah kejadian banjir lumpur pertama berlaku di kawasan perumahan itu sejak kawasan itu didiami 30 tahun lalu dan kedua-dua kejadian itu dipercayai berpunca dari limpahan air dari projek pembinaan yang ada kawasan berhampiran di kawasan yang terjejas," kata beliau. Beliau berkata, walaupun pihaknya ada menerima laporan kejadian banjir kilat di beberapa laluan di pinggir ibu negara antaranya di Jalan 34/26, Seri Rampai, namun tiada laporan kereta terperangkap diterima. BEBERAPA laluan di pinggir ibu negara turut dilaporkan dilanda banjir kilat.


相关文章