Bayi lahir dalam pesawat dinamakan sempena nama syarikat penerbangan, jet star
BAYI lelaki dinamakan sebagai Saw Jet Star selepas dilahirkan dalam pesawat milik syarikat penerbangan Jetstar Airways ketika penerbangan dari Singapura ke Myanmar, baru-baru ini. - AGENSI
YANGON 28 April – Seorang wanita menamakan bayinya dengan nama syarikat penerbangan Jetstar selepas selamat melahirkan anaknya itu di dalam pesawat tersebut, Jumaat lalu.
Menurut laporan portal Mail Online, wanita yang enggan dikenali itu melahirkan bayi lelaki berkenaan ketika penerbangan dari Singapura ke Myanmar.
Wanita berkenaan bernasib baik kerana pesawat terbabit turut dinaiki tiga orang doktor yang membantunya melahirkan bayi, selain dibantu anak-anak kapal yang lain.
「Nama keluarga wanita tersebut adalah Star dan dia mengambil keputusan untuk menamakan anak lelakinya sebagai Saw Jet Star sebagai menghargai layanan baik yang diterimanya daripada kakitangan syarikat penerbangan tersebut.
「Nama awal bayi berkenaan iaitu Saw diambil sempena nama Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Jetstar, Saw Ler Htu yang turut membantu wanita itu bersalin,」 jelas laporan Mail Online.
Bayi lelaki itu lahir dengan berat kira-kira tiga kilogram dan merupakan bayi pertama yang dilahirkan di dalam penerbangan Jetstar.
Pihak Jetstar memberi sumbangan barangan bayi bernilai AS$1,000 (RM3,190) kepada wanita itu dan tiga doktor yang terlibat turut menerima baucar penerbangan.
Jetstar dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya berbangga dengan tindakan anak-anak kapal yang membantu doktor untuk memastikan wanita tersebut selamat melahirkan bayi.
「Kelahiran bayi di dalam pesawat Jetstar disambut dengan sorakan penumpang lain dan kami pasti pengalaman itu tidak akan dilupakan,」 jelas kenyataan tersebut.