Kes budak hilang dibuka semula selepas 20 tahun, ibu bapa didakwa bunuh
HAWAII - Ibu bapa seorang kanak-kanak lelaki di Hawaii yang hilang hampir 20 tahun lalu kini didakwa atas tuduhan membunuh selepas pihak berkuasa membuka semula kes berkenaan dan menilai semula semua bukti.
Pasangan tersebut telah lama menjadi suspek kes berkenaan selepas budak lelaki berusia enam tahun itu, Peter Kema Jr atau lebih dikenali sebagai Peter Boy dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berkata, mereka tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mendakwa pasangan tersebut sehinggalah sekarang.
Peter Kema Sr. memberitahu pihak berkuasa yang dia telah membawa anaknya ke Oahu dan memberikan Peter Kema Jr kepada sebuah keluarga yang juga kawan lamanya.
Ketua juri mengenakan dakwaan membunuh peringkat kedua (second-degree murder charges) kepada Peter dan Jaylin Kema pada Rabu lalu.
Bapa budak lelaki berkenaan dikenakan ikat jamin sebanyak AS$500,000 selepas ditahan pada Khamis lalu disebabkan satu kesalahan trafik. Ibunya pula ditahan di Hilo dan dikenakan ikat jamin sebanyak AS$150,000.
Tidak dapat dipastikan sama ada ibu bapa Peter Boy mempunyai peguam bela atau tidak. Pejabat guaman awam berkata, mereka tidak boleh mengesah atau menafikan mewakili pasangan berkenaan.
Pada akhir tahun 1990-an dan diawal 2000, wajah Peter Boy terpampang di kempen-kempen kanak-kanak hilang dan didera.
Poster dan pelekat semuanya ditulis dengan ayat 「Di mana Peter Boy?」
Bapanya memberitahu pihak berkuasa yang dia membawa Peter Boy ke Oahu dan diserahkan kepada seorang wanita bernama Aunty Rose Makuakane untuk dijadikan anak angkat secara tidak rasmi.
Bagaimanapun, polis tidak berjaya menemukan wanita yang diceritakan Kema malah rekod penerbangan juga tidak menunjukkan dia telah terbang ke Oahu.
Pada 2005, Pengarah Perkhidmatan Manusia ketika itu, Lilian Koller telah mengeluarkan dokumen-dokumen yang telah disunting setebal 2000 muka surat dengam butiran mengenai dakwaan yang mengatakan Peter Boy dan adik beradiknya menderita akibat penderaan oleh ayah mereka.
Adiknya yang bongsu, Devalynn memberitahu seorang pakar psikologi pada 1998 yang dia nampak Peter Boy telah mati di dalam sebuah kotak namun kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu kemudiannya menukar kenyataan dengan memberitahu pakar tersebut bahawa abangnya masih hidup di Honolulu.
Pakar psikologi mengakui bahawa pemahaman kanak-kanak berkenaan mengenai kematian adalah konsisten dengan usianya dan dia pastinya mempercayai orang yang telah mati boleh hidup semula.
Gadis berkenaan yang kini telah dewasa dan dikenali sebagai Lina Acol turut memberitahu pakar psikologi, bapanya, selalu memukul, menumbuk dan menampar Peter Boy dan ibunya dan kanak-kanak malang itu sering diikat dengan rantai dan tali.
Peter Sr dan isterinya bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.