Askar maut kereta bertembung lori

@ 2016-04-24

Askar maut kereta bertembung lori

April 24, 2016, Sunday

DAHSYAT: Keadaan kereta mangsa dan lori selepas nahas, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Seorang anggota tentera terbunuh selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Suri, Asajaya dekat sini, awal pagi semalam.

Menurut sumber, mangsa Sapree Jaie berusia 27 tahun semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan menuju ke kampungnya di Asajaya sekitar jam 5 pagi.

Bagaimanapun, difahamkan kereta jenis Toyota Avanza yang dipandu mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu dirempuh lori yang membawa muatan kelapa sawit.

「Saksi memberitahu, kereta mangsa memasuki laluan lori berkenaan secara tiba-tiba menyebabkan pemandunya (lori) tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta mangsa.

「Impak rempuhan tersebut menyebabkan bahagian hadapan keretanya remuk dan dia (mangsa) tersepit,」 kata sumber.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberitahu pihaknya menerima laporan pada jam 5.53 pagi dan beberapa anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

「Seorang mangsa lelaki yang tersepit di bahagian pemandu kereta Avanza berjaya dikeluarkan oleh anggota JBPM dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.45 pagi.

「Lelaki terbabit bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan pihak polis telah menghantar mayat mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,」 katanya.

Anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan juga dikerahkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan punca sebenar kemalangan tersebut masih disiasat.


相关文章