KUALA LUMPUR - Oleh kerana cemburu isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang pemandu lori dipercayai membunuh isterinya itu dan bayi mereka.
Kejadian dilapor berlaku di Taman Rawang Perdana 2, Rawang pada 14 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, suspek dipercayai membunuh isteri dan anak perempuannya selepas mendapat tahu isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
"Motifnya sudah jelas dan suspek akan didakwa minggu depan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.
Suspek kini direman bermula 15 April hingga Rabu ini dan jika disabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Wanita berusia 34 tahun itu dan bayinya yang berusia tujuh bulan ditemui mati di rumah mereka kira-kira 10 pagi pada tarikh tersebut.
Mangsa ditemui terbaring di tepi katil manakala bayinya di atas katil di dalam sebuah bilik rumah teres dua tingkat berkenaan.
Dalam kes berasingan, Abdul Samah berkata polis menyambung reman suspek berhubung kes rogol kanak-kanak berusia empat tahun di Sungai Buloh, sehingga 27 April.
Suspek direman sejak 18 April lepas.
Kes disiasat dibawah Seksyen 377(C) iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dan di bawah Seksyen 377(C)(a) melakukan persetubuhan dengan menggunakan objek.
Dalam kejadian 14 April lalu, kanak-kanak tersebut dikatakan dirogol suspek pada jam 1 pagi sebelum suspek ditangkap orang ramai.