Wanita maut dirempuh lori treler

@ 2016-04-17

Wanita maut dirempuh lori treler

April 17, 2016, Sunday

TERBABAS: Kedua-dua kenderaan terbabit terbabas di tepi jalan dalam kemalangan di Kilometer 78, Jalan Selangau-Mukah semalam.

SIBU: Seorang wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa dan suaminya dirempuh lori treler di Kilometer 78, Jalan Selangau-Mukah dekat sini pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 7.45 pagi, mangsa dikenali Sebai Eri, 56, bersama suaminya sedang menaiki pacuan empat roda menghala ke Mukah.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau ketika dihubungi berkata Isuzu Dmax dinaiki pasangan suami isteri terbabit dikatakan memberi isyarat masuk ke simpang kanan apabila lori treler itu cuba memotong tetapi gagal.

「Akibat itu kenderaan pacuan empat roda pasangan suami isteri terbabit terus dilanggar dari belakang menyebabkan kedua-duanya terbabas ke semak di tepi jalan raya,」 katanya.

Jimmy berkata, mangsa maut di tempat kejadian manakala suaminya sebagai pemandu mengalami cedera ringan di kepala.

「Polis bertindak menahan pemandu lori terbabit untuk membantu siasatan,」 katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kemalangan sekitar jam 8.50 pagi.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit manakala pemandunya berjaya dikeluarkan orang awam dan dihantar ke Hospital Mukah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.


相关文章