Bendera BN diterbalik, protes di Kabong semakin bergolak
April 16, 2016, Saturday
TANDA PROTES: Sejak beberapa hari lalu, bendera BN dipasang terbalik sebagai tanda protes pencalonan kerusi baharu di Kabong.
KABONG: Selepas sehari kejadian enam bendera Barisan Nasional (BN) dipasang secara terbalik di salah sebuah pentas mini di sini, semalam beberapa bendera BN turut dikibar secara terbalik di beberapa jalan di sekitar pekan Kabong termasuk edaran surat layang tanda protes.
Sumber terdekat menjelaskan, ia dilakukan penduduk sebagai tanda protes enggan menerima calon mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Mohd Chee Kadir, 63, selepas diumum diterima dalam Pasukan Adenan.
「Rata-rata penduduk menolak pencalonan Chee Kadir kerana walaupun beliau anak Kabong tetapi sudah lama mendiami Miri dan setengah penduduk terutama generasi muda tidak mengenalinya.
「Mereka protes selepas beliau terpilih daripada lapan yang disenarai untuk jadi wakil rakyat di sini. Sejak beberapa hari lalu keadaan di Kabong agak panas, malah berlaku perpecahan dalam sokongan kepada BN,」 katanya.
Dalam Facebook Berita Ka-bong, beberapa kejadian protes dan hujah turut mendapat sambutan pembaca malah sesetengah komen menyatakan, ada penduduk menghantar surat bantahan kepada Ketua Menteri yang meminta dinilai semula pencalonan Mohd Chee Kadir.
Sumber itu menyatakan, parti AMANAH dilihat sudah melancarkan siri kempen di sekitar Kabong apatah lagi sejak diumum, calon BN itu langsung tidak menampakkan wajah untuk mengadakan sebarang majlis suai kenal dengan penduduk.
Mohd Chee Kadir adalah anak tempatan Kabong dan dilihat sebagai orang kuat parti apabila dilantik menjadi Bendahari dan Setiausaha PBB Senadin sejak 20 tahun lalu dan aktiviti parti beliau banyak dihabis di Miri.
Kini beliau adalah Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan penduduk kampung melihatnya sebagai orang luar apabila antara kandungan surat layang diedar menyatakan, beliau tidak layak untuk DUN Kabong kerana ramai tidak mengenalinya.
Namun bendera itu diturunkan oleh pihak Majlis Daerah Saratok (MDS) pada jam 10 pagi selepas menerima laporan dan difahamkan protes masih diteruskan sehingga suara mereka didengar di akar umbi.
Manakala calon BN dipercayai akan turun ke Kabong esok untuk bertemu penduduk termasuk mengada perjumpaan dengan Ranting PBB Kabong di Dewan PNK Kabong.
Read more: http://www.theborneopost.com/2016/04/16/bendera-bn-diterbalik-protes-di-kabong-semakin-bergolak/#ixzz460VJADpK