Ceramah Dr Zakir di Bukit Jalil, Sabtu ini, diteruskan Sela

@ 2016-04-12

KUALA LUMPUR: Program ceramah oleh pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di ibu negara yang dijadualkan Sabtu ini, tetap diteruskan. Pengesahan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini, selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga bersetuju syarahan itu diteruskan, namun meminta tajuk yang akan dikupas pendakwah berasal dari India itu ditukar dengan cara berhemah. "Saya sudah berjumpa YAB TPM (Ahmad Zahid) dan KPN (Khalid) dan bersetuju forum Dr Zakir Naik diteruskan. Mereka minta tajuk diubah dengan cara berhemah. Semoga Allah SWT memberkati," katanya dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik di laman rasmi Facebook beliau, pagi tadi. Semalam, Khalid meminta penganjur pihak forum Dr Zakir di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), bertajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam' dijadual Ahad ini, dihentikan bagi menjamin ketenteraman awam dan sensitiviti beragama. Dr Zakir kini dalam siri ceramahnya di Terengganu, Sambutan hebat daripada masyarakat Islam, apabila lebih 30,000 orang memenuhi Stadium Tertutup Gong Badak, bagi mendengar ceramahnya sebelum ini. Sementara itu, lebih 5,000 warga institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh Terengganu turut tidak melepaskan peluang mendengar syarahannya yang berlangsung di kampus utama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), malam tadi. Selepas program di UMT, Dr Zakir akan menyampaikan syarahan umum di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Besut, hari ini, sebelum berakhir di Padang Astaka, Kemaman, Khamis ini. Dr Zakir dilahirkan pada 18 Oktober 1965 di Mumbai, adalah seorang penceramah dan pendakwah yang sering menyampai ceramah mengenai Islam dan perbandingan agama di seluruh dunia. Dilahirkan pada 18 Oktober, 1965 di Mumbai, beliau adalah seorang doktor perubatan yang memperoleh ijazah Bachelor of Medicine and Surgery (MBBS) dari Mumbai. Pada tahun 1991, beliau mula bekerja dalam bidang dakwah, dan mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF).

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/143049


相关文章