Billy sedia pikul cabaran jika diberi peluang bertanding di kerusi Opar
April 12, 2016, Tuesday
LUNDU: Calon berpotensi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Opar Billy Sujang sedia memikul cabaran jika diberi peluang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).
Malah Billy, anak tempatan berketurunan Selako, percaya bahawa beliau mampu memikul amanah itu dengan baik jika pucuk kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) memberi kepercayaan kepadanya menerusi SUPP.
「Saya merupakan orang BN sejak awal penglibatan saya dalam bidang politik ketika saya bertugas di Kapit dan menjadi lebih aktif selepas berpindah ke Kuching pada tahun 1998.
「Dari tahun 2001 hingga 2006, saya sering mengikuti Ranum Mina yan ketika itu adalah penyandang N.1 Tanjong Datu menghadiri majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi dalam kawasan beliau.
「Pada Pilihan Raya Negeri 2006, saya dilantik sebagai pegawai perhubungan yang ditugaskan untuk menyelaraskan Bilik Operasi N.1 Opar dan membantu penyandangnya Ranum memenangi kerusi itu,」 katanya.
Pada PRN 2011, Billy sekali lagi menggalas tugas sebagai pengarah operasi di Bilik Operasi Opar bagi membantu calon BN terutama daripada aspek logistik selain menjadi penghubung dengan ketua-ketua kaum serta masyarakat setempat.
Malah sejak, penyandang Opar (Ranum) keluar parti berikutan krisis dalaman parti, Billy terus mengatur langkah dan mempergiatkan usaha turun padang mendekati rakyat.
Meskipun kini beliau merupakan pesaing kepada Ranum, namun beliau tetap bersahabat dengan penyandang Opar itu dan menganggap Ranum sebagai ahli politik yang matang serta disenangi rakyat.