Adenan umum 10 Calon SUPP, baki kerusi jadi tanda tanya

@ 2016-04-07

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan 10 calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-11 ini atas tiket Barisan Nasional (BN).

Sepuluh calon itu ialah Peter Pau (Padungan); Milton Foo Tiang Wee (Pending); Sih Hua Tong (Batu Lintang); Wilfred Yap Yau Shin (Kota Sentosa); Lo Khere Chiang (Batu Kitang); Datuk Dr Sim Khui Hian, (Batu Kawa); Datuk Francis Harden (Simanggang); Chieng Buong Toon (Bukit Assek); Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (Piasau); dan penyandang kerusi Senadin Datuk Lee Kim Shin.

Bagaimanapun Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata senarai calon SUPP yang diumumkan ini belum lagi lengkap.

「Saya akan umumkan calon lain dari semasa ke semasa. Semuanya akan selesai sehari sebelum penamaan calon,」 katanya pada sidang media di sini hari ini.

SUPP yang tewas di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 19 kawasan yang ditandinginya pada PRN lepas, kini menjadi tumpuan ramai untuk melihat bagaimana Adenan membahagikan kerusi majoriti kaum Cina pada PRN ini antara SUPP dan parti serpihannya yang 『mesra BN』, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Kerusi DUN yang ditandingi SUPP dalam PRN sebelum ini yang masih belum diumumkan calonnya oleh Adenan ialah Opar, Engkilili, Bawang Assan, Dudong, Pelawan, Pujut, Meradong, Repok dan Kidurong.

Adenan berkata beliau akan mengumumkan calon bagi DUN Repok minggu ini.

Semalam, Adenan mengumumkan bahawa Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil daripada UPP akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Mambong yang sebelum ini dikenali dengan nama Bengoh, sebagai calon langsung BN.

Sebelum ini Adenan juga dilaporkan berkata bahawa calon langsung BN turut akan bertanding di DUN Bawang Assan dan Dudong.

Ditanya sama ada kerusi SUPP yang belum diumumkan itu akan ditandingi oleh UPP, Adenan berkata: 「Kamu boleh andaikan apa yang kamu suka tetapi tunggulah sehingga hari saya mengumumkannya」.

Apabila ditanya tentang SUPP dan UPP yang kini 『berebut kerusi』, Adenan berkata persetujuan kini 『hampir tercapai』.

「Kesepakatan akan dicapai seminggu sebelum penamaan calon. Kamu (wartawan) tidak perlu risau. Biar saya cari penyelesaiannya,」 katanya.

— BERNAMA


相关文章