Penuntut Malaysia Di Kanada Mengaku Gay & Tidak Percaya Tuhan Dapat Status Pelarian
Kerajaan Kanada telah meluluskan permohonan status pelarian seorang pelajar Malaysia yang sebelum ini secara terbuka mengaku dirinya gay dan tidak percaya tuhan, sekali gus membolehkan penuntut itu menetap di negara tersebut.
Keputusan dibuat Lembaga Imigresen dan Pelarian Kanada semalam selepas sesi pendengaran permohonan berjalan selama 20 minit, membenarkan penuntut Universiti Winnipeg, Hazim Ismail untuk tinggal di sana selepas melahirkan kebimbangan terhadap keselamatannya sekiranya dia dihantar pulang ke Malaysia.
"Saya amat gembira dan menghargai keputusan tersebut," katanya seperti dilapor portal CBC.ca.
Sementara peguamnya, Bashir Khan berkata, dengan status baharu anak guamnya itu, ia secara langsung bermaksud Hazim tidak boleh dihantar balik ke negara asal.
"Hazim datang ke sini sebagai penuntut status pelarian dan dia akan bebas ke luar sebagai insan yang dilindungi.
"Anak guam saya seorang yang boleh dipercayai dan mendapat sokongan hebat daripada orang ramai sekali gus memudahkan permohonannya diluluskan," kata Bashir Khan.
Difahamkan, keputusan bertulis akan diterima oleh Hazim dalam tempoh tiga hingga enam minggu lagi, dan dokumen tersebut membolehkan dia memohon status penduduk tetap di Kanada.
Sebelum ini, Hazim mencuri tumpuan media antarabangsa selepas dia memaklumkan dibuang keluarga kerana keluarganya mengetahui dia seorang gay dan ateis – tidak percaya kewujudan tuhan, selain keluarganya bertindak menghentikan bantuan pengajian.
Akibatnya, Hazim terpaksa meminta bantuan daripada orang ramai dengan membuka halaman GoFundMe pada November lalu untuk mengumpul dana bagi meneruskan pengajiannya bagi sesi sementer 2016. -